Dalam kehidupan ini kita tidak akan lari
daripada membuat sesuatu pilihan. Tidak kiralah dalam apa jua aspek sekalipun.
Kita sentiasa dilema untuk menentukan sesuatu keputusan itu. Antara yang ini
ataupun yang itu. Kita terpaksa berhadapan dengan perkara ini saban hari.
Persoalannya, bagaimanakah untuk kita menetapkan sesuatu keputusan itu? Sedikit
perkongsian daripada penulis untuk kalam kali ini iaitu beberapa petua ringkas
dan praktikal untuk dilakukan ketika membuat sesuatu pilihan.
1.
Solat Istikharah
Sebagai seorang Muslim kita perlu menjadikan
solat Istikharah sebagai prioriti dalam membuat sebarang keputusan kerana
bukannya setiap perkara yang kita inginkan merupakan sesuatu yang terbaik untuk
kita dan tidak pula semua perkara yang kita tidak sukai itu akan membawa
mudarat kepada kita. Hanya Allah SWT sahaja yang tahu akan apa yang terbaik
buat kita, sepertimana dalam firmanNya yang bermaksud,
“Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” (Surah al-Baqarah 2:216)
2.
Musyawarah
Musyawarah, syura, bermesyuarat, diskusi,
atau perbincangan adalah elemen yang kedua yang perlu untuk kita praktikkan
dalam membuat sesuatu keputusan itu. Satu akal yang bersuara dalam membuat
sesuatu keputusan sama sekali tidak sama dengan suara majoriti atau akal yang kurang
ilmu dan pengalaman tidak dapat membuat sebuah keputusan sematang mereka yang
berilmu dan mempunyai pengalaman hidup yang banyak. Oleh sebab itu, mintalah
pendapat orang soleh, ilmuwan atau mereka yang lebih berumur daripada kita
seperti ibubapa dalam membantu kita membuat sebuah keputusan itu.
3.
Dengar kata hati
Peranan hati dalam membantu kita membuat
sebuah keputusan itu tidak dapat kita nafikan tetapi perlu bersyarat. Bukan
secara melulu sahaja untuk mendengar kata hati ini kerana takut kata hati itu
tidak tepat. Oleh itu, hanya hati yang cintakan Allah dan Rasul sahaja yang
layak dipertimbangkan. Oleh sebab itu, dengarlah kata hati selepas solat
terutamanya selepas solat fardu, solat taubat atau solat Istikharah serta
kektika sedang berpuasa.
Inilah sedikit perkongsian untuk kalam kali
ini. Tetapi perlu diberikan perhatian bahawa segala petua ini tidak boleh
diamalkan dalam membuat sebuah keputusan yang melibatkan soal mematuhi Allah
dan menjauhi laranganNya. Semoga perkongsian kali ini dapat memberikan manfaat
kepada kita semua. Wallahuaklam.
“Hidup sentiasa memerlukan pilihan. Maka
pilihlah sebuah keputusan yang tepat.”
0 tautan:
Catat Ulasan