UCAPAN seperti Happy Valentine’s Day, Will You Be My Valentine serta pemberian hadiah jambangan ros merah, belon berbentuk hati yang tertera I Love You, malah sehingga sanggup bertatu adalah antara sebahagian cara yang popular acap kali tibanya Hari Kekasih atau Valentine’s Day pada setiap 14 Februari.
Sebagai seorang Muslim, mungkin kita tertanya lagi, mengapa perayaan memperingati cinta itu dilarang? Apa salahnya kita bercinta, sedangkan Islam tidak melarang umatnya bercinta dan berkasih sayang antara satu sama lain
Menurut Pembantu Profesor, Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Malaysia (UIAM), Gombak, Dr. Adibah Abdul Rahim, setiap bangsa mempunyai perayaan mereka tersendiri.
Perayaan-perayaan ini disambut berdasarkan sebab tertentu, sempena dan matlamat berbeza.
Perayaan dalam Islam adalah ibadat, ia telah ditentukan cara dan penghayatannya. Dalam sebuah hadis, Baginda bersabda:
Setiap kaum ada perayaan. Bagi kaum ini (Islam) juga ada hari-hari perayaannya, iaitu Hari Raya Fitrah dan Hari Raya Korban. (riwayat Bukhari dan Muslim)
“Oleh itu, apabila kita hendak merayakan sesuatu, kita mestilah merayakan perayaan itu berdasarkan garis panduan yang ditetapkan oleh Allah. Jadi perayaan Hari Kekasih jelas merupakan acara yang jauh tersasar, bercanggah dan tiada kaitan dengan agama Islam,” katanya.
Pada dasarnya hari ini hanya berdasarkan kepada kepercayaan animisme (kepercayaan bahawa setiap benda ada semangat) yang bersumber daripada paganisme (kepercayaan karut) orang musyrik. Apatah lagi, Hari Kekasih ialah penghormatan kepada seorang paderi Kristian.
Kalau melihat kepada sejarahnya, ia adalah satu budaya kotor, songsang dan mengandungi unsur-unsur negatif.
“Malah ia adalah budaya hidup Barat dengan bertopengkan kasih sayang dan percintaan. Malah tambah membimbangkan, ia boleh membawa kepada kerosakan akidah umat Islam,” tegas Adibah.
Tambahnya, apabila jelas perayaan ini bukan berasaskan Islam, maka Islam melarang umatnya mengikut kepercayaan yang berdasarkan taklid (mengikut sesuatu itu membuta-tuli tanpa mengetahui asal usul, latar belakang dan sejarah budaya itu).
Rasulullah s.a.w. melarang umatnya daripada mengikut tatacara beribadat selain Islam. Contohnya, cara merayakan perayaan yang tidak bersumberkan Islam. Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Barang siapa meniru satu kaum maka ia termasuk dari kaum tersebut.” (Riwayat Tirmizi)
“Ia diperjelaskan lagi dalam kitab karangan Ibnu Taimiyah yang mengatakan, perayaan adalah satu kaedah utama yang membezakan adat dan undang-undang antara satu kaum dengan kaum yang lain.
“ Jadi perayaan adalah amalan yang paling menonjol bagi sesuatu bangsa. Oleh itu, kalau kita bersetuju untuk merayakan perayaan mereka itu, bererti kita bersetuju ke arah perkara kemungkaran dan kekufuran,” tambahnya.
Corak perayaan Hari Kekasih adalah simbol kepada cara hidup golongan bukan Islam. Secara tidak langsung mereka yang merayakannya, seolah-olah mengiyakan dan bersetuju perbuatan-perbuatan keji yang menjadi intipati perayaan tersebut.
“Golongan Muslim yang ikut serta tanpa ada inisiatif untuk menghentikannya juga adalah sebahagian daripada mereka,” kata Adibah.
Kata beliau lagi, hal ini turut ditanggung bagi mereka yang terlibat secara tidak langsung seperti berjual-beli dengan perkara-perkara berkaitannya, mengucapkan selamat, menghadiri program hiburan yang bersempena dengan hari itu. Ia seolah-olah kita turut sama mempromosikan hari tersebut, itu juga adalah perbuatan terlarang.
Firman Allah bermaksud:
...Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan janganlah tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pencerobohan. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat seksaan-Nya. (al-Ma’idah: 2)
Hakikatnya, umat Islam perlu sentiasa diingatkan bahawa jangan mudah terikut sesuatu benda tanpa mengetahui asal usulnya, sejarah dan latar belakang serta terima sewenang-wenangnya tanpa memeriksa unsur kebatilan dan kekufurannya.
Ini dijelaskan dalam surah al-Isra’ ayat 36 bermaksud: Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungjawabnya.
Sebagai orang Islam, kita mesti berusaha memelihara diri dan iman dan jangan mudah terkesan dengan perang psikologi.
“Saya juga pelik dengan segelintir umat Islam yang masih lagi merayakan dan membanggakan hari tersebut,” jelas beliau.
Namun sikap terikut-ikut ini pernah dinyatakan malah Baginda menegah kita daripada meniru budaya Yahudi dan Nasrani dengan sabdanya yang bermaksud: “Nescaya kamu akan turut jejak langkah mereka (Yahudi dan Nasrani ) sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga kamu akan turuti mereka walaupun mereka masuk ke dalam lubang biawak. Lantaran sahabat bertanya: Adakah mereka itu Yahudi dan Nasrani? Baginda menjawab: Siapa lagi kalau bukan mereka.’’
Menjelaskan mengapa perayaan ini tidak boleh disambut oleh umat Islam kata Adibah, Hari Kekasih juga adalah satu bidaah saiiah iaitu bidaah yang tidak ada dasar hukumnya di dalam syariat Islam. Kedua, kita mestilah membezakan diri daripada orang kafir.
Menyambut hari kekasih ini umpamanya kita berperilaku orang kafir. Ia bukan sahaja satu budaya meniru tetapi tanda memberi sokongan. Hukumnya adalah berdosa dan wajib dihindari.
Selain itu, percintaan yang dimaksudkan pada Hari Kekasih ini terlalu umum dan melampaui batas-batas kesederhanaan. Islam memang agama kasih sayang, tolong-menolong dan merangsang supaya bersatu hati, tetapi ia perlu berjalan di bawah payung iman dan takwa.
“Saya tidak melihat ia sebagai satu isu budaya sahaja tetapi ia berkaitan dengan masalah akidah. Apabila kita merayakan Hari Kekasih, ia secara tidak langsung membawa erti yang kita merayakan ritual agama lain. Oleh itu sekiranya kita mempertahankannya juga, ia seolah-oleh kita mempertahankan budaya Barat.
“Orang Melayu akan mula hilang jati diri mereka dan yang paling merbahaya ialah akidah dicemari dengan perbuatan yang bertentangan syarak. Malah mereka yang meraikan hari ini juga menunjukkan, sikap tidak sensitif mereka dengan isu agama,” kata Adibah selagi mana ia melibatkan akidah dan syiar Islam, alasan semangat toleransi, setiakawan atau menghormati orang lain tidak boleh diterima.
Mengakui sikap generasi muda yang mudah terikut-ikut dan taksub dengan budaya Barat, Hari Kekasih mendorong generasi muda ke arah keruntuhan akhlak. Perlakuan mereka itu jelas di luar batasan syariat.
Contohnya, berpesta, pergaulan bebas, minum arak sehingga mabuk malah hingga kepada zina atau menghampiri zina kerana hendak membuktikan cinta.
Menurut Adibah, tanpa disedari kita mendokong agama mereka yang pada hakikatnya terpesong daripada apa yang dipohonkan setiap kali bersolat.
“Tidak ada gunanya kita sering meminta daripada-Nya, sedangkan kita sendiri menempuh jalan sesat itu dengan sukarela,” kata Adibah dalam temu bual di pejabatnya, baru-baru ini.
Persoalannya sekarang, mengapa perlu luahkan cinta pada 14 Februari, sedangkan kita ada 365 hari dalam setahun? Jelas Adibah, ini kerana mereka tidak faham sejarah hari tersebut. Di sinilah peranan ibu bapa, ahli akademik, pendidik, media massa untuk memberi penjelasan terutamanya pada peringkat awal.
“Barat suka mempromosikan hari-hari khas tertentu seperti Hari Ibu, Hari Bapa dan sebagainya kerana nilai-nilai dalam sistem kekeluargaan mereka sudah teruk.
Sedangkan di dalam Islam, menjadi kewajipan setiap individu untuk menghargai ibu bapa dan orang yang mereka kasihi. Hakikatnya konsep kasih sayang di dalam Islam adalah lebih komprehensif,” jelasnya.
Bercinta menurut perspektif Islam adalah tidak salah kerana ia adalah fitrah manusia. Memanglah diakui semua orang mahu dicintai dan mencintai tetapi persoalannya perasaan cinta itu perlulah mematuhi peraturan yang ditetapkan Allah.
Ini kerana matlamat cinta ialah untuk menyelamat, mententeram dan membahagiakan manusia. Jadi meluahkan kasih sayang antara lelaki dan perempuan perlulah melalui saluran yang dibenarkan oleh syarak seperti perkahwinan.
Kata Adibah, penularan sambutan Hari Kekasih adalah impak daripada globalisasi dan fahaman sekular.
Di dalam Islam ada tiga kategori cinta iaitu; Cinta kepada Allah dan Rasul, cinta kepada manusia dan cinta kepada harta duniawi. Cinta yang hakiki ialah cinta kepada Allah dan Rasul, manakala cinta kepada manusia dan harta duniawi adalah ujian Allah untuk menentukan tingkat keimanan dan ketakwaan. Ia tidak kekal dan bergantung kepada keadaan.
Oleh itu, sebaik-baiknya sebagai seorang Muslim, tidak perlulah terikut-ikut dengan sambutan Hari Kekasih yang dibawa orang Kristian.
Di dalam Islam, kita dibenarkan mencintai sesiapa sahaja asalkan perasaan cinta itu dibina atas dasar cinta kerana Allah. Ini kerana Allah yang mencipta insan yang kita sayangi dan kasihi. Oleh itu kecintaan kepada manusia sepatutnya menjadi satu wadah untuk mendapatkan keredaan Allah.
Bagaimana kita hendak mencintai seseorang kerana Allah? Pertama kata Adibah, kita kena sentiasa mendahului kehendak Allah sebelum kita penuhi kehendak individu yang kita cintai. Kedua, cinta kepada manusia mestilah berlandaskan kepada syariat dan ajaran Islam. Jangan sampai terleka dan melakukan perbuatan yang dimurkai Allah. Contohnya membuktikan cinta sehingga sanggup melakukan zina.
Yang ketiga, keimanan kepada Allah mendahului segala keinginan duniawi dan keempat, cinta suci seharusnya dilandaskan dengan akhlak dan keperibadian Islam. Ia bermaksud, cinta tidak boleh berlandaskan keinginan nafsu semata-mata.
0 tautan:
Catat Ulasan