3 PERKARA YANG ELOK DISEBUT-SEBUT
Perbanyakkan menyebut Allah daripada menyebut makhluk.
Sudah menjadi kebiasaan bagi kita menyebut atau memuji-muji orang yang berbuat baik kepada kita sehingga kadang-kadang kita terlupa hakikat bahawa terlampau banyak nikmat yang telah Allah SWT berikan kepada kita.
Lantaran itu, kita terlupa memuji dan menyebut-nyebut nama Allah. Makhluk yang hanya berbuat baik sedikit sahaja kepada kita, kita puji habis-habisan tetapi nikmat yang terlalu banyak Allah SWT berikan kita langsung tidak hargai. Sebaik-baiknya elok kita basahi lidah kita dengan memuji Allah sentiasa, bukan sekadar ucapan Alhamdulillah apabila perut sudah kekenyangan. Pujian sebegini hanya di lidah sahaja, tidak sampai hingga ke hati.
Perbanyakkan menyebut akhirat daripada menyebut urusan dunia.
Dunia terlalu sedikit dibandingkan dengan akhirat. 1000 tahun di dunia setimpal dengan ukuran masa sehari di akhirat. Betapa kecilnya nisbah umur di dunia ini berbanding akhirat. Nikmat dunia juga 1/100 daripada nikmat akhirat. Begitu juga seksa dan kepayahan hidup di dunia hanya 1/100 daripada akhirat.
Hanya orang yang singkat akalnya hanya sibuk memikirkan Wawasan Dunia (WD) hingga terlupa Wawasan Akhirat (WA). Manusia yang paling bijak ialah mereka yang sibuk merancang Wawasan Akhiratnya. Saham Amanah Dunia (SAD) tak penting, tapi yang paling penting ialah Saham Amanah Akhirat (SAA) yang tak pernah rugi dan merudum malahan sentiasa naik berlipat kali ganda. Oleh itu perbanyakkanlah menyebut-nyebut perihal akhirat supaya timbul keghairahan menanam dan melabur saham akhirat.
Perbanyakkan menyebut hal-hal kematian daripada hal-hal kehidupan.
Kita sering memikirkan bekalan hidup ketika tua tetapi jarang memikirkan bekalan hidup semasa mati.
Memikirkan mati adalah sunat kerana dengan berbuat demikian kita akan menginsafi diri dan kekurangan amalan yang perlu dibawa ke sana. Perjalanan yang jauh ke akhirat sudah tentu memerlukan bekalan yang amat banyak.
Bekalan itu hendaklah dikumpulkan semasa hidup di dunia ini. Dunia ibarat kebun akhirat. Jikalau tidak usahakan kebun dunia ini, masakan dapat mengutip hasilnya di akhirat? Dalam hubungan ini eloklah mencontohi sikap Saidina Ali k.w.s.j. Meskipun sudah terjamin akan syurga, beliau masih mengeluh dengan hebat sekali tentang kurangnya amalan untuk dibawa ke akhirat yang jauh perjalanannya.
Bandingkan pula dengan diri kita yang kerdil dan sentiasa bergelumang dengan dosa?
0 tautan:
Catat Ulasan