Terfikir pula saya, dalam dunia berinternet ini, ramai yang mempunyai blog. Lagi popular blog tersebut, lagi hampir tuan punya blog dengan para pengunjungnya. Setiap hari mungkin pengunjungnya inginkan sesuatu yang baru dari tuan punya blog.
Tanpa disedari bahawa tuan punya blog boleh datang dan pergi. Sebagaimana pengunjung turut datang dan pergi. Namun bagi pengunjung setia yang mengenali dan rapat, apabila melihat sebuah blog yang sudah tidak lagi dikemaskini kerana pemergian pemilik blog, tentunya satu perasaan yang amat hiba dan pedih.
Baru-baru ini saya turut membaca beberapa tuan blog yang kembali ke rahmatullah, meninggalkan keluarga dan blognya terus kaku. Saya membuka blog mereka dan menatapi beberapa penulisan mereka dan juga gambar-gambar mereka sewaktu hayat dikandung badan, tanpa disedari datang perasaan hiba.
Blog tersebut masih berpengunjung, dipenuhi dengan ucapan takziah buat ahli keluarga, tetapi tuan punya blog sudah tiada di sisi, tiada mampu membaca kata-kata terbaru indah dan doa di blog mereka. Terfikir akan hal itu, perasaan sedih dan hiba sudah tentu melanda jiwa dan hati.
Sebagai contoh, blog milik pelajar perubatan Malaysia, Sdr Ammar Zulkifli yang meninggal akibat kemalangan di Mesir baru-baru ini. Sila buka blog beliau di sini .
Juga blog seorang ustaz muda, (Ust Wan Mohd Salimi) yang meninggal dunia dikatakan akibat kesan kemalangan juga, lebih pedih kerana meninggalkan isteri dan tiga orang anak. Blognya di sini pula .
Juga seorang bakal guru (Mohd Fadhiri bin Mohamad Ariffin ) yang telah bertemu dengan ALLAH bersama sahabatnya (Mohd Faizol) pada sehari selepas ulang tahun saya yang ke 23 tahun pada tahun ini akibat kemalangan jalan raya. Blognya di sini . Dan selepas pemergiannya, blog ini di buat khas untuk allahyarham oleh kak Long arwah.
Ucapan takziah buat seluruh ahli keluarga dan di doakan ruh mereka mendapat rahmat dan tergolong dari kalangan individu soleh.
Saya sebenarnya tidak mengenali mereka, hanya mengenali mereka melalui blog mereka sesudah pemergian mereka. Itupun, masih terasa hiba apabila menekuni isi blog mereka.
Tatkala membaca pemergian mereka, meninggalkan buku dan blog mereka yang dipenuhi nasihat berguna sebagai amal jariah berterusan. Benar, satu-satunya yang akan mengikutinya ke alam seterusnya. Saya tidak dapat lari memikirkan dengan diri sendiri.
Nabi s.a.w amat menggalakkan kita untuk menziarahi kubur dengan sasaran untuk lebih mengingati kematian. Bagi mereka yang tidak berpeluang untuk menziarahi kuburnya, ziarahilah blognya dan berdoalah serta ingatlah akan kematian itu pasti. Kematian itu menuntut PERSEDIAAN. Persediaan menuntut kepada ILMU, ilmu menuntut kepada AMAL, dan amal menuntut KEIKHLASAN. Ruangan khas buat mereka saya semadikan di sini. Hibanya masih terasa... Melawati blog yang telah mereka tinggalkan...
Bagaimanakah nanti blog saya di ketika hari kematian...masanya belum diketahui namun ia adalah sebuah pemergian yang akan datang. Sama-samalah kita berusaha dan bersedia, kerana ia adalah satu pemergian yang tiada peluang ulangan. Hidup adalah sebuah exam yang gagalnya tiada ruang untuk mengulang. Nauzubillah.
"Ya Allah matikan daku dalam keadaan penghujung penuh kebaikan dan janganlah matikan kami dengan keadaan penghujung yang buruk"
Sekian
0 tautan:
Catat Ulasan