“Aku bukan tak nak berubah. Dalam hati aku, aku pun nak jadi macam orang lain. Tapi bila aku buat baik, orang akan tengok aku dan perli. Tak membantu langsung.”
Dialog di atas hanyalah olahan saya. Saya tidak pernah mendengarnya sendiri, tapi pernahlah terdengar dialog yang sama maksudnya cuma dalam gaya bahasa yang berbeza. Terdetik dalam hati saya, jika dalam keadaan seperti ini, siapa yang patut dipersalahkan? Yang mahu berubah menjadi baik atau persekitaran yang tidak membantu dalam proses berubah ke arah kebaikan?
Saya pernah bertanya kepada seorang sahabat, dia adalah antara mangsa keadaan persekitaran yang tidak membantu. Saya bertanya, apakah perasaannya apabila orang sekeliling memandang serong kepada dirinya yang mahu berubah kepada kebaikan. Jawapannya memang sudah saya jangka, dia rasa geram dan segala perlian itu melunturkan semangatnya untuk berubah dan akhirnya proses perubahannya terbantut. Hidayah yang diterima, telah tersia-sia.
Sayang seribu kali sayang
Jika seorang penjahat yang tiada rasa ingin berubah langsung dalam hatinya dan terus membuat dosa, memang dia dalam kerugian. Tapi pada saya, mereka yang telah ALLAH kirimkan hidayah dalam hati, tetapi tidak mahu berubah hanya kerana persekitaran atau perlian mereka yang tidak mengerti, LEBIH RUGI. Kerana hidayah itu milik ALLAH, dan hanya kepada sesiapa yang DIA kehendaki hidayah itu akan dikirimkan. Tidak kiralah secara sentuhan hati, nasihat seorang sahabat, melalui pembacaan buku tazkirah atau musibah yang menimpa diri, semua itu mungkin sahaja menjadi wasilah agar terdetik rasa dalam hati untuk membuat kebaikan dan berubah. Dan paling penting, kita masih menjadi yang terpilih oleh yang Maha Esa. Jadi, mengapa biarkan hidayah itu berlalu hanya kerana kata-kata mereka yang hanya manusia? Mereka yang belum memahami? Berusahalah agar kata-kata itu tidak melunturkan semangat yang telah terbina, berubahlah. Jangan jadikan kata-kata kurang enak atau pandangan pelik mereka sebagai alasan untuk kita kembali ke takuk lama dan tidak berubah.
Siapa mereka?
Ujian. Ya, mudah sahaja jawapannya. Jika dalam proses kita untuk melakukan perubahan, hadir anasir-anasir luar yang menganggu, ia adalah ujian yang ALLAH kirimkan kepada kita. Untuk menguji sekuat mana kita teguh kepada keinginan ke arah kebaikan itu. Analoginya mudah, sebagai pelajar JAD, dalam hati menanam keinginan untuk ke Jepun. Peluang itu diberikan oleh pihak penaja. Tapi adakah tanpa membuat apa-apa setiap pelajar boleh terus ke Jepun? Tidak logik. Lalu setiap pelajar perlu melalui proses ujian untuk memastikan mereka bersedia untuk menjejakkan kaki ke negara matahari terbit itu. Diuji dengan kesukaran peperiksaan, jadual yang padat, dan segolongan rakan-rakan yang mungkin kadangkala menyinggung perasaan. Tapi dalam setiap kesusahan ini, kita ditemani dengan tunjuk ajar golongan pensyarah yang sedia membantu kita agar kita mampu memahami subjek dan lulus peperikasaan.
Konsepnya sama sahaja, ALLAH kirimkan hidayah, dan seorang yang mengambil peluang untuk berubah akan ALLAH uji untuk memastikan kesungguhannya. Dan sama seperti hadirnya pensyarah yang membantu proses pembelajaran kita, sedarlah ALLAH juga sentiasa di sisi untuk membantu kita. Dengan sifat Maha Penyayang, ALLAH tak pernah tinggalkan kita sendirian. Jadi, jangan berhenti, teruskan langkah!
Konsepnya sama sahaja, ALLAH kirimkan hidayah, dan seorang yang mengambil peluang untuk berubah akan ALLAH uji untuk memastikan kesungguhannya. Dan sama seperti hadirnya pensyarah yang membantu proses pembelajaran kita, sedarlah ALLAH juga sentiasa di sisi untuk membantu kita. Dengan sifat Maha Penyayang, ALLAH tak pernah tinggalkan kita sendirian. Jadi, jangan berhenti, teruskan langkah!
“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak Kami, sesungguhnya Kami pimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) ALLAH berserta orang yang berusaha membaiki amalannya.”
[Al-Ankabut:69]
Doakan mereka
“Kenapa kau tiba-tiba berubah ni? Dah buang tebiat ke? “
“Eh, tak pernah pernah aku tengok kau pakai jubah, kena hari ni pakai?”
“Kau pakai tudung?? Mana pendirian ‘free hair’ yang kau pegang selama ni? Pelik-pelik.”
Usah dengar pada kata-kata yang langsung tak membantu ini. Ia hanyalah ujian dan cara syaitan memperdaya kita agar kita kembali ke arah kebinasaan. Biarkan kata-kata ini masuk telinga kiri dan keluar telinga kanan. Biarlah kata-kata ALLAH yang membekas terus dalam hati kita. Tentang balasan syurga dan neraka. Agar kita bergerak ke arah yang sepatutnya menuju kemenangan abadi.
“Bagi orang-orang yang berbuat baik, ada pahala yang terbaik (surga) dan tambahannya. Dan muka mereka tidak ditutupi debu hitam dan tidak (pula) kehinaan. Mereka itulah penghuni surga, mereka kekal di dalamnya.”
[Yunus:26]
“Dan orang-orang yang mengerjakan kejahatan (mendapat) balasan yang setimpal dan mereka ditutupi kehinaan. Tidak ada bagi mereka seorang pelindung pun dari (azab) Allah, seakan-akan muka mereka ditutupi dengan kepingan-kepingan malam yang gelap gulita. Mereka itulah penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya.”
[Yunus:27]
Dan bagi mereka yang tidak menyokong, yang tidak mengerti, doakan untuk mereka agar mereka kembali sambil kita meneruskan langkah. Bukan berhenti dan menyertai mereka.
Perubahan. Sukar. Itu hakikatnya. Saya tahu, bukanlah saya menuntut kita semua berubah 180 darjah dalam masa sehari, ikutlah kemampuan. Cuma yang mahu saya sampaikan, jangan jadikan kata-kata orang, persekitaran yang tidak membantu sebagai alasan yang mematikan semangat kita yang membara untuk melangkah ke medan kebaikan. Saat kita menunding jari menyalahkan orang lain, kita hanya meletakkan diri dalam kerugian. Jadi didiklah hati agar kuat dan tabah menghadapi.
0 tautan:
Catat Ulasan