SOALAN
Assalamualaikum ustaz
Ustaz saya baru putus cinta baru-baru ini. dan saya sekarang dalam kesedihan. Teman lelaki saya dipaksa emaknya supaya berkahwin dengan sepupunya. Sedangkan dia terlalu sayangkan saya. Tetapi dia mengambil keputusan mengikut cakap mak dia. Ini cerita saya..
Sebelum saya putus dengan dia, saya ada kenal seorang kawan. Dia pandai melihat persamaan nama kita dan pasangan kita. Bila dia matchkan nama saya dengan teman lelaki saya, dia cakap 50-50..teman lelaki saya berbelah bahagi.
Jadi dia minta saya terus berusaha dan berdoa. Kemudian dia ade suruh saya jampi dekat air dan minum selama 4 hari air tersebut. Dia cakap kalau saya buat..saya akan link dengan hati teman lelaki saya untuk melihat samada teman lelaki saya ada perasaan dengan saya atau tidak. Selepas 4 hari saya rasa jiwa kosong. Kemudian dia mengatakan teman lelaki saya sebenarnya dah tidak memilih saya,tetapi emak dia. Keesokkan harinya teman lelaki saya menhantar sms bahawa dia terpaksa memilih emaknya bukan saya.
Soalan saya.
- Adakah Allah telah memberikan petunjuk pada saya bahawa dia bukan jodoh saya? Adakah saya boleh terus berdoa supaya jodoh saya ialah teman lelaki saya?
- Apa yang perlu saya lakukan dimana kawan saya itu mengatakan jodoh saya lambat lagi. Adakah boleh saya percaya?
JAWAPAN
Saya bersimpati atas kerunsingan dan kesedihan yang menimpa saudari. Namun sebelum menjawab soalan yang dikemukan, beberapa perkara asas perlu disedari.
Pertamanya ; Ingin saya ingatkan, cinta sebelum kahwin, khususnya dari jenis ‘cinta mendalam' apabila wujud dalam diri yang jauh dari ilmu, kenipisan iman serta pergaulan bebas adalah KUNCI Syaitan merosakkan iman. Kerosakan dengan amat mudah menyelinap masuk melalui perkataan sang pecinta, tulisannya & lebih merbahaya merasuk perbuatan mereka. Mata, telinga mereka menjadi buta dan pekak dari segala jenis nasihat baik dari manusia ramai, mereka seolah melayang di dunia berasingan. Akhirnya pemiliknya kerap tersesat di pertengahan jalan.
Kesimpulannya, ‘cinta sebelum kahwin‘ lebih banyak membawa maksiat & keburukan berbanding kebaikan buat pasangan terlibat. Tambahan iu, ia juga BUKAN merupakan punca @ sumber bagi kebahagian rumahtangga (jika dibina sekalipun). malah ia mungkin punca keberantakannya.
Kerana itu di dalam Islam, jika bertunang jangan lama agar perkahwinan itu yang kekal lama. Jika bertunang jangan ber'dating' berdua-duaan kerana ia punca pasangan tidak akan setia.
Keduanya ; Saudari perlu bertaubat dengan sebenar-benar taubat kerana telah melakukan perkara perbuatan syirik apabila mempercayai tukang tilik bomoh yang menilik perkara ghaib melalui tilikan nama.
Lebih buruk implikasinya pula apabila saudari dan teman lelaki mempercayainya, sehingga mengamalkan amalan syirik yang dibekalkan oleh bomoh syirik itu ( iaitu jampi air dan minum untuk ‘link' hati). Ini tidak lain hanyalah penipuan, kesyirikan dan dosa yang maha besar. Bagi mereka yang mati sebelum sempat bertuabt dari dosa syirik, tempat mereka adalah neraka buat selama-lamanya moga dijauhkan oleh Allah swt. Justeru, segeralah menyedari dan kembalikan kewarasan fikiran dan iman saudari yang mungkin sedang rosak akibat ‘virus cinta' tersebut.
Ketiganya : Berkenaan soalan saudari :
2) Berdoa untuk dikurniakan jodoh dengan seseorang adalah diizinkan oleh Islam. Tiada sebarang dalil yang melarang doa untuk memperolehi sesuatu kebaikan sama ada dunia dan akhirat. Doa untuk dijodohkan dengan seseorang yang dicintai, termasuk di dalam doa untuk mendapat kebaikan dunia. Ia diizinkan dengan syarat dilakukan dengan betul, faham dan bersungguh tanpa disertai kepercayaan syirik, jampi mentera karut marut dan ramalan syirik.
Namun demikian, adalah lebih baik untuk saudari memikirkan bahawa ‘kumbang bukannya seekor', malah mungkin yang jauh lebih baik dari si dia. Tiadalah perlu menyusahkan diri dengan terlalu ‘terikat' dan ‘terpahat' kepada seorang lelaki sahaja. Justeru, adalah lebih baik untuk berdoa agar Allah swt mengurniakan jodoh yang lebih baik dari si dia yang telah terhenti di separuh jalannya. Sebagaimana Ummu Salamah diajar berdoa untuk mendapat yang lebih baik dari suaminya yang syahid, akhirnya beliau dilamar oleh baginda Rasulullah s.a.w. Ya, jauh lebih baik dari seorang sahabat.
3) Jangan percaya kepada kawan saudari yang jahil lagi syirik itu. Lambat atau cepatnya jodoh tidak boleh diramal. Apa yang penting, Allah swt mengurniakan kepada kita iktihar dan usaha, maka berusaha secara halal untuk memperolehi jodoh yang terbaik buat diri.
sumber : Zaharuddin Abd Rahman
0 tautan:
Catat Ulasan