Pada diri wanita ada ciri-ciri atau kriteria yang spesifik dan
itu tidak dimiliki oleh lelaki, begitu pula sebaliknya. Apabila salah
satu pihak meninggalkan kriteria yang telah ditetapkan Allah bererti ia
telah meninggalkan fitrah dan merosak kudrat insaniah. Ada beberapa
ketentuan dalam syariat Allah sehubungan kriteria yang dimiliki oleh
wanita, oleh sebab itu berpegang teguhlah dengan syariat tersebut dan
jangan perkenankan lelaki campur tangan dalam urusan dalaman jika tidak
ingin dirugikan ataupun kehidupan fizikal dan kejiwaan wanita akan
rosak.
Syariat & Darurat
Secara
syariat, wanita muslimah hendaklah menjaga dirinya dan auratnya dari
dilihat orang lain, kerana jika perkara ini terjadi pasti akan
menimbulkan fitnah. Secara fitrah baik lelaki ataupun wanita yang bukan
muhrim bersentuhan pasti akan menimbulkan berahi dan getaran jiwa yang
akan mendatangkan tekanan syahwat baik banyak mahupun sedikit. Inilah
namanya nafsu yang pasti ada pada diri seorang lelaki ataupun wanita
yang normal.
Wanita mengandung ketika mengadakan pemeriksaan
bulanan dengan doktor lelaki bukanlah tergolong dalam keadaan darurat,
kerana ketika itu wanita tersebut bukan dalam keadaan sakit. Jika ia
bukan dalam keadaan darurat sudah tentu hukumnya berdosa ketika seorang
doktor lelaki menyentuh bahagian-bahagian tertentu tubuh wanita
tersebut.
Kedudukan darurat dalam Islam adalah jika
sesuatu keadaan itu tidak ada pilihan lain, maka secara terpaksa atau
harus kita melaksanakan sesuatu yang pada dasarnya bertentangan dengan
ketetapan Allah. Umpamanya, memakan daging khinzir hukumnya haram,
namun ketika dalam keadaan tidak ada sedikitpun makanan melainkan
daging itu sahaja, sedangkan kita dalam keadaan kelaparan yang boleh
membawa maut, maka hukumnya menjadi harus memakan daging tersebut
sekadar mengelakkan dari mati.
Pemeriksaan Bulanan
Begitu
juga halnya dalam masalah pemeriksaan bulanan, ia bukanlah dalam
keadaan darurat, sebab masih ada cara lain atau alternatif lain untuk
mencari doktor wanita ataupun bidan yang beragama Islam. Apatah lagi di
negara kita sekarang ini mudah didapati doktor wanita, bahkan di
hospital dan klinik kerajaan pun kebanyakan yang memeriksa wanita hamil
terdiri dari doktor atau bidan wanita.
Mengapa kita mesti
mencari doktor lelaki jika hanya sekadar menginginkan kepakaran mereka
disaat mengadakan pemeriksaan bulanan. Bahkan doktor wanita yang pakar
sakit puan pun telah ramai di negara ini. Maka tidak timbullah istilah
‘darurat’ ketika mengadakan pemeriksaan bulanan dengan doktor lelaki
bagi wanita hamil. Kecualilah ketika akan melahirkan, di mana wanita
yang akan melahirkan tersebut memerlukan pembedahan dan perhatian yang
serius dari ramai pihak. Maka ketika ini barulah boleh dipakai istilah
darurat tersebut, kerana wanita yang ingin melahirkan itu tidak terfikir
masalah lain, melainkan ingin selamat melahirkan anaknya.
Aspek Psikologi
Ditinjau
dari aspek psikologi pun proses pemeriksaan bulanan yang dilakukan
wanita hamil dengan doktor lelaki ini akan menimbulkan kesan yang jauh
dan negatif dalam hubungan kekeluargaan. Bayangkan saja bagi seorang
wanita yang selama ini hanya disentuh oleh suaminya, tentu akan merasa
suatu getaran ketika lelaki lain menyentuhi tubuhnya. Rasa kelainan dan
getaran inilah yang membenihkan suatu keinginan tertentu kepada yang
lain selain suaminya, lebih-lebih lagi ketika mereka menghadapi masalah
atau krisis rumahtangga. Perkara ini sepintas lalu nampaknya macam
perkara biasa dan sederhana, namun dalam jangka masa panjang, kesannya
sangat membahayakan minda dan jiwa isteri tadi serta suaminya juga.
Dalam
hal ini bagi doktor lelaki mungkin tidak merasakan apa-apa perasaan
terhadap pesakitnya, disebabkan terlalu ramai pesakit yang dirawatnya
setiap hari dan ini menjadikannya lali dengan keadaan tersebut. Namun
bagi seorang wanita yang normal dan sihat, getaran di jantungnya pasti
akan terasa dan getaran inilah yang dinamakan syahwat.
Jika
perkara ini terjadi bukanlah bererti setiap wanita yang hamil itu tidak
baik atau wanita yang rendah moralnya, malah perkara ini membuktikan
kenormalan wanita tersebut. Dalam hal ini kebijaksanaan suami sangat
dituntut untuk melaksanakan tuntutan Islam agar isterinya mengadakan
pemeriksaan bulanan dengan doktor wanita Islam sahaja.
Menggerakkan Nafsu Syahwat
Saya
ingin membawa contoh yang sama dalam diri seorang lelaki. Bagaimanakah
rasanya perasaan seorang lelaki jika bahagian tertentu tubuhnya
disentuh oleh doktor wanita dengan nada bahasa yang lemah-lembut dan
baik. Sebagai seorang lelaki yang normal, pasti dia akan merasakan
getaran di jantungnya, kecualilah jika ketika itu ia betul-betul sakit
(dalam keadaan darurat), sehingga tidak ada yang lain difikirkannya
melainkan kesembuhan dari sakitnya itu. Begitu juga halnya dengan
doktor wanita yang menyentuh pesakit lelaki mungkin merasa lali dengan
situasi tersebut disebabkan propesi dan tanggungjawabnya sebagai
seorang doktor.
Keretakan Rumahtangga
Fahamilah
tentang kaedah batas-batas aurat bagi seorang wanita atau lelaki yang
bukan muhrim. Jika perkara ini tidak diberi perhatian secara serius,
lama kelamaan akan runtuhlah sendi institusi rumahtangga keluarga
muslim. Seandainya seluruh umat Islam tidak mengambil berat tentang
perkara ini, bukan saja institusi rumahtangga malah negara pun akan
runtuh kerana kejatuhan nilai moral dan agama dalam kehidupan bangsa.
Peliharalah diri dan keluarga kita agar kehidupan bahagia di dunia dan
di akhirat serta terhindar dari seksa api neraka.
0 tautan:
Catat Ulasan