QA. Dikuasakan oleh Blogger.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Muslimah yang solehah itu umpama ANGIN yang lalu, mereka hadir tanpa disedari, tetapi kehadiran mereka itu mendamaikan hati

 
Memaparkan catatan dengan label info. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label info. Papar semua catatan
17 Jun 2012

Peristiwa Israk dan Mikraj dan Pengajaran Yang Perlu di Hayati




Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Setiap tahun apabila sampai tanggal 27 Rejab umat Islam diseluruh dunia akan mengadakan majlis sambutan peristiwa Israk dan Mikraj. Israk dan Mikraj berlaku pada 27 Rejab, setahun sebelum Hijrah Rasulullah SAW dari Mekkah ke Madinah.

Apabila berbicara tentang peristiwa Israk dan Mikraj ini, kita secara spontan akan terbayang kisah perjalanan Rasulullah S.A.W bersama malaikat Jibril dan Mikail yang boleh dibahagikan kepada dua fasa.

  • Israk yakni perjalanan Nabi SAW menaiki binatang Buraq dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa, di Baitulmaqdis, Palestin.

  • Mikraj ialah perjalanan dari Masjidil Aqsa ke Sidratil Muntaha di langit yang ketujuh.



Perjalanan Rasulullah S.A.W ini telah diabadikan oleh Allah S.W.T di dalam Al-Quran, Surah Al-Isra' ayat 1 yang bermaksud;

"Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidilharam ke Al Masjidilaqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."

Menariknya, keseluruhan perjalanan Rasulullah S.A.W hanya berlangsung pada satu malam.

Para ulama, hadis, ulama feqah dan ulama tafsir secara umum menegaskan bahawa perisitiwa Israk dan Mikraj di mana kedua-duanya berlaku dalam satu malam dan dalam keadaan baginda SAW sedar. Ia berlaku pada jasad atau tubuh dan roh Nabi SAW bukannya roh sahaja. Sebagaimana difahami daripada firman Allah dalam ayat tadi di mana Allah menegaskan "asra bi 'abdihi lailan" yang bermaksud memperjalankan hamba-Nya pada waktu malam. Perkataan hamba yang dimaksudkan di sini iaitu Nabi Muhammad S.A.W yang mana meliputi batang tubuh dan rohnya serentak bukannya rohnya sahaja. Jika ia berlaku pada rohnya sahaja maka sudah tentu firman Allah itu berbunyi "asra bi rohi 'abdihi lailan" yang bermaksud memperjalankan roh hamba-Nya pada waktu malam tetapi yang berlaku sebaliknya di mana Allah secara jelas menyatakan bahawa Dia telah memperjalankan hamba-Nya iaitu Nabi SAW dalam keadaan tubuh dan rohnya serentak.

Peristiwa ini pada pandangan orang yang tidak beriman atau mereka yang tipis imannya, mereka menyatakan bahawa peristiwa ini tidak mungkin akan berlaku atau pun mereka berbelah bahagi samada mahu mempercayainya atau pun sebaliknya. Tetapi bagi orang yang benar-benar beriman kepada Allah dan rasul-Nya maka mereka tetap percaya dengan penuh keimanan kepada peristiwa ini.

Setelah baginda S.A.W menceritakan apa yang telah terjadi padanya kepada masyarakat umum maka orang-orang kafir bertambah kuat mengejek dan mendustakan baginda S.A.W. Fitnah terhadap baginda S.A.W bertambah kuat malah ada juga di kalangan mereka yang sebelum ini telah memeluk Islam telah pun murtad kembali. Manakala bagi mereka yang begitu membenarkan baginda S.A.W maka iman mereka tetap utuh sebagaimana kita lihat kepada reaksi Sayyidina Abu Bakar apabila dia mendengar berita daripada orang ramai tentang apa yang telah diberitahu oleh Nabi S.A.W lalu beliau dengan tegas menyatakan :

"Benar! Aku menyaksikan bahawa engkau merupakan Rasulullah. Jika baginda S.A.W mengatakan bahawa baginda telah diperjalankan lebih jauh daripada itu maka aku tetap beriman kepadanya". Inilah ketegasan dan keyakinan yang tidak berbelah bahagi Sayyidina Abu Bakar dalam mempercayai Allah dan rasul-Nya sehingga beliau digelar as-Siddiq yang membawa maksud pembenar.

Selain itu, pernah juga diriwayatkan Rasulullah S.A.W berjumpa dengan pelbagai keadaan manusia ketika di dalam perjalanan tersebut. Meskipun kisah tentang peristiwa bersejarah ini seringkali diulangcerita oleh para penceramah setiap kali sambutan Israk dan Mikraj diadakan, saya melihat roh dan intipati di sebalik peristiwa ini masih tidak meresap ke dalam jiwa masyarakat Islam.

Sahabat yang dimuliakan,

Sebelum berlakunya Israk dan Mikraj Rasulullah S.A.W mengalami pembedahan dada/perut oleh malaikat. Hati Baginda S.A.W dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman ke dalam dada Rasulullah S.A.W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Israk" itu.

Semasa Israk ( Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa ):

Sepanjang perjalanan (Israk) itu Rasulullah S.A.W diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

  • Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah,
  •  Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A.S. menerima wahyu daripada Allah,
  •  Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa A.S. dilahirkan),



Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S.A.W menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib.

Peristiwa-peristiwa tersebut adalah seperti berikut :

  • Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S.A.W diberitahu oleh Jibrail: Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

  • Tempat yang berbau harum.Rasulullah S.A.W diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Masitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).

  • Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

  • Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebeis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

  • Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri/suami.

  • Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba.

  • Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

  • Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

  • Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

  • Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

  • Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

  • Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S.A.W tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensia-siakan umurnya sampai ke tua.

  • Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun daripada Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia dan mursalin menjadi makmum.

Rasulullah S.A.W terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah S.A.W memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.



Semasa Mikraj ( Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah S.W.T );

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S.A.W dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

Di Langit Pertama: Rasulullah S.A.W dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam a.s. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat hodoh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

Di Langit Kedua: Nabi S.A.W dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Isa A.S. dan Nabi Yahya A.S.

Di Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A.S.

Di Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A.S.

Di Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A.S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

Di Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A.S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

Di Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Makmur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S.A.W, Nabi Ibrahim A.S. bersabda, "Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dhaif, maka berdoalah untuk umatmu.

Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH Mengikut riwayat lain, Nabi Ibahim A.S. bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA LA ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAHIL- 'ALIYYIL-'AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga".

Setelah melihat beberpa peristiwa lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

Di Tangga Kelapan: Di sinilah disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S.A.W dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.

Di Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

Di Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah SWT dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:

Allah SWT : Ya Muhammad.

Rasulullah : Labbaika.

Allah SWT : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.

Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.

Allah S.W.T : Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari kiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku fardukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.

Selesai munajat, Rasulullah S.A.W di bawa menemui Nabi Ibrahim A.S. kemudian Nabi Musa A.S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S.A.W merayu kepada Allah S.W.T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

Selepas Mikraj:

Rasulullah S.A.W turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu'alam.

(Sumber : Kitab Jam'ul-Fawaa'id)













*********************************

Sahabat yang dikasihi,

Kesimpulannya, Peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah S.W.T dan takut kepada kekuasaan-Nya.

Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.

Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.

Dengan kita mendengar dan menghayati kisah dan cerita yang berlaku di dalam peristiwa Israk dan Mikraj kita perlu ambil ikhtibar dan yakin bahawa bumi Baitulmaqdis Palestin yang menjadi tempat bermulanya Mikraj Nabi SAW adalah bumi penuh berkah dan terdapat Masjidil Aqsa (kiblat pertama umat Islam)

Baitulmaqdis dan Masjidil Aqsa adalah harta umat Islam yang telah dirampas oleh Zionis Yahudi laknatullah. Umat Islam perlu berusaha, berkorban dan berdoa semoga tempat suci umat Islam ini dapat dipulangkan kembali kepada pangkuan umat Islam. Peristiwa Israk dan Mikraj akan lebih bermakna apabila umat Islam seluruhnya dapat membantu saudara-saudara kita di Palestin dan dapat memulihkan dan menguasai Baitulmaqdis dan menghalau Yahudi laknatullah daripada menguasai dan membunuh saudara-saudara kita di Palestin.



13 Jun 2012

Peristiwa 12.06.12




Fenomena ribut taufan luar biasa ini hanya berlaku di luar negara sebelum ini tetapi beberapa kawasan di sekitar pantai barat sabah seperti Kota Kinabalu, Tuaran dan beberapa kawasan sekitar telah dilanda ribut taufan tersebut. Sebelum berlakunya ribut taufan tersebut, awan aneh terbentuk di sekitar ruang udara Sabah yang dikatakan awan Arcus.

Awan pelik, Awan Arcus terbentuk pada pagi 12 Jun. Ketika gambar diambil, cuaca stabil tanpa angin dan hujan. Namun begitu, menjelang tengahari, ribut kencang berserta hujan melanda seluruh kawasan Pantai Barat Sabah. Penjelasan untuk 'Fenomena Awan Luar Biasa', awan tadi dipanggil awan Arcus. Ia hanya kejadian alam normal tetapi jarang berlaku.


Keadaan ini boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 km/j dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian 3.5 meter dan berbahaya kepada bot-bot kecil.


Jika anda di antara penduduk Sabah yang tinggal di Kota Kinabalu pasti dapat menyaksikan formasi awan yang sangat pelik.  Ini menunjukkan tanda kebesaran Allah yang Maha Pencipta


Awan berbentuk begitu mungkin kerana diramalkan hujan lebat dan ribut petir akan berlaku petang semalam. Rasa gerun pula melihat bentuk awan tu terjadi di depan mata dan apabila diri sendiri berada dalam situasi tersebut  ... Subahanallah dalam sekelip mata segalanya berubah.... Harap tidak ada kejadian yang buruk akan berlaku nanti. Syukur kerana tidak ada apa-apa yang berlaku.


Berikut adalah koleksi gambar yang sempat diambil semasa kejadian ribut taufan tersebut berlaku.


Labuan







Kota Kinabalu



















Penampang





Pantai Manis , Papar











5 Jun 2012

Fb: Hukum add dan remove friend




KONSEP SYARIAT

Suatu perkara asas yang perlu kita faham tentang Syariat Islam adalah, Islam ini datang kepada kita sebagai satu sistem yang matlamat utamanya adalah untuk memberikan kemaslahatan ( kebaikan ) kepada manusia dan menjauhkan sebarang kemudaratan daripada manusia. Ini konsep teras kepada hukum hakam Islam. Sebarang perkara yang boleh mendatangkan manfaat ataupun kebaikan kepada manusia adalah dibenarkan manakala sebarang perkara yang boleh memberikan mudarat kepada manusia adalah ditegah dan dilarang.

Arak umpamanya. Suatu perkara yang boleh memberi kemudaratan maksima kepada manusia, kerana ia menghilangkan fungsi akal yang waras. Ketika mabuk, manusia boleh berzina bahkan membunuh. Islam menegah keras perbuatan minum arak kerana kesan-kesan negatif yang akan timbul daripadanya.

Jadi secara mudah, boleh kita fahami begini. Islam mahukan yang terbaik untuk kita, maka segala yang baik dan boleh membawa kepada kebaikan adalah diharuskan. Manakala segala yang buruk dan boleh membawa kepada keburukan, adalah ditegah dan diharamkan.

Ok, itu step yang pertama.



KAEDAH UMUM

Kita fokuskan pada satu kaedah fiqh yang ada dalam Islam, di mana kaedah ini menyebut :

Satu perkara yang mana tidak akan lengkap sesuatu perkara wajib, melainkan dengan perkara tersebut, maka perkara tersebut turut sama menjadi wajib.

Analogi asas : mengambil wudhuk itu sunat tetapi solat itu wajib. Namun untuk bersolat wajib ada wudhuk, kerana wudhuk itu adalah syarat untuk solat. Justeru, walaupun wudhuk itu asalnya tidak wajib umpama solat, tetapi ia menjadi wajib kerana solat tidak akan sempurna melainkan dengan wudhuk.

Kita aplikasikan.

Dalam hidup kita, kita tidak akan dapat lari dari 5 hukum yang utama. Daripada bangun tidur, sampailah tidur semula, kita bermain dengan 5 hukum ini iaitu wajib, sunat, harus , makruh dan haram. Contoh, bangun pagi solat subuh, hukumnya wajib. Dengar azan tarik selimut sambung tidur, hukumnya haram.

Kalau kita perhatikan, kesemua perkara yang Allah tentukan sebagai wajib, pada perkara tersebut pasti dan pasti ada manfaat serta kebaikan untuk manusia. Begitu juga pada perkara yang haram, pada perkara tersebut pasti dan pasti ada keburukan kepada manusia. Saya sudah berikan satu analogi di atas, iaitu arak.

Justeru, kalau mahu aplikasikan kaedah penting ini, kita boleh katakan ; minum arak itu haram, justeru membeli arak juga haram, berjalan pergi ke kedai untuk membeli arak juga haram dan begitulah seterusnya. Bermakna, kesemua perkara yang boleh menyempurnakan benda haram akan turut sama menjadi haram.

Sebab itu dalam bab zina, ada istilah mukaddimah zina. Yang jelas dinyatakan haram dalam Al-Quran adalah perbuatan berzina itu sendiri, namun kerana mata yang memandang itu boleh membawa kepada zina, telinga yang mendengar itu boleh membawa kepada zina dan kaki yang melangkah itu boleh membawa kepada zina, maka kesemuanya turut sama menjadi haram atas nama mukaddimah ataupun permulaan zina.



HUKUM FACEBOOK

Dalam 5 hukum yang saya sebut di atas, hukum ber- facebook adalah harus. Kaedah menyebut, asal usul kesemua perkara adalah harus. Boleh dibuat, boleh ditinggal tanpa ada pahala mahupun dosa. Keharusan ini kekal selagimana tidak ada dalil ataupun elemen-elemen lain yang boleh merubah perkara harus tadi menjadi haram.

Kembali kepada fokus saya ; add atau remove friend.

Kita semua tahu, berkawan di facebook adalah perkara yang paling mudah bahkan pada sesetengah orang sangat menyeronokkan. Boleh mendapat kawan dari seluruh dunia dan belajar dari mereka tentang banyak perkara. Berkawan ini, hukumnya harus bahkan boleh menjadi sunat sekiranya niat berkawan itu adalah kerana Allah.

Namun dalam keasyikan berkawan itu, ada batas tertentu yang kita perlu jaga, bagi mengelakkan keharusan pada hukum tadi tercemar dengan elemen lain yang boleh menjadikannya haram.



GAMBAR

Satu contoh paling mudah kita faham adalah gambar. Apabila saya menyebut tentang gambar, bermakna ia melibatkan hubungan berkawan antara lelaki dan perempuan. Ia terkait dengan gambar kerana antara lelaki dan perempuan diwajibkan menjaga pandangan masing-masing dan tidak boleh memandang melainkan ada keperluan.

Hukum meletakkan gambar bagi seorang wanita di facebook asalnya adalah harus semata-mata. Langsung tidak ditegah oleh agama. Tetapi dengan syarat ; gambar tersebut hanya anda, keluarga anda dan kaum sejantina anda sahaja yang boleh melihat. Apatah lagi jika gambar tersebut tidak menutup aurat ataupun mempunyai unsur-unsur tabarruj.

Bagaimana jika syarat ini dilanggar? Jawabnya anda terjatuh ke dalam dosa, kerana membiarkan diri anda ditatap oleh kaum lelaki yang bukan mahram. Menutup aurat anda dan menyembunyikan perhiasan anda adalah wajib. Menutup pintu-pintu fitnah juga merupakan perkara yang wajib. Lihat balik kaedah di atas, sesuatu yang tidak sempurna perkara wajib melainkan dengannya maka ia turut menjadi wajib.

Menutup aurat, menyembunyikan perhiasan dan menutup pintu-pintu fitnah itu wajib, maka mengelak dari meletakkan gambar yang boleh dilihat oleh lelaki ajnabi yang mana boleh menyumbang kepada sempurnanya perkara wajib tadi, turut sama menjadi wajib.



FRIEND

Ramai orang tidak menapis friend untuk masuk ke dalam list mereka. Asal ada permintaan, akan diterima. Ini kadangkala menjadikan begitu ramai orang yang tidak dikenali berada dalam koleksi kawan mereka. Dalam ramai-ramai orang tersebut, ada bermacam-macam ragam.

Kalau sebagai lelaki, ramainya kawan wanita itu boleh membawa kepada fitnah. Lebih-lebih lagi jika tidak kuat keimanan dalam diri. Biasa berlaku, wanita suka ambil gambar dan meletakkan gambar mereka dalam facebook. Kerapkali juga, gambar-gambar itu terpamer di muka hadapan. Maka si lelaki yang sedang bersiar-siar di facebook, akan membuka atau melihat gambar-gambar tersebut.

Ada yang bertudung rapi, tetapi gambar jarak dekat. Bibir berkilat dengan lipstik. Posing pula berbagai gaya. Mereka ini kadangkala tidak pun dikenali, dan kadangkala si lelaki bertanya pula kepada diri sendiri ; bila masa aku add minah ni ?

Memang ramai wanita jenis itu di facebook. Berbagai teguran diberi, namun minat bergambar dan menayangkan gambar tetap tidak dihentikan. Apatah lagi jika komen-komen di bawah gambar tersebut cenderung memuji, mengusik dan menyakat. Semakin seronok lah mereka.

Kadangkala lelaki hanya mengambil mudah, dan mengomen ; poyo betul minah ni. macam cun sangat.

Hati-hati.

Kata-kata anda belum menjamin anda selamat jika berdepan dengan situasi tersebut. Syaitan belum datang mencucuk. Mula-mula anda fikir anda kuat, dan ‘minah poyo’ tersebut tidak menggugat. Namun pandangan kedua mungkin mengubah segalanya. Tadi nampak tak cantik, sekarang macam ada daya penarik. Mula lah memerhati wajah si wanita, bibirnya, bentuk tubuhnya. Kesudahannya, nafsu yang akan berbicara.

Tiada istilah dari mata turun ke hati. Yang ada, dari mata turun ke nafsu!

Sebab itu, Islam wajibkan lelaki menahan pandangan. Inilah bahayanya. Maka, aplikasikan kaedah di atas. Jangan berlagak kuat dan hebat dengan memperjudikan keimanan. Jika terbukti gambar tersebut boleh memberikan mudarat pada iman, maka menjauhi gambar tersebut hukumnya adalah wajib dan menatapnya adalah haram.




Jika tindakan remove friend dengan wanita seperti itu boleh menyelamatkan iman dan membersihkan pandangan, maka remove friend itu hukumnya adalah wajib.





BEBERAPA SITUASI LAIN

  • Remove friend boleh menjadi wajib sekiranya anda yakin lelaki atau wanita tersebut boleh memberikan mudarat tertentu kepada anda, lebih-lebih lagi jika mereka itu menzahirkan sebarang niat yang jahat. Contohnya ; stalker.

  • Remove friend boleh menjadi wajib, sekiranya anda meminati seseorang itu, dan anda tidak boleh menahan diri dari selalu melihat wall atau gambarnya. Lebih-lebih lagi jika menjadi igauan, sejenis obses ataupun melibatkan kecenderungan nafsu. Jika hilang dari pandangan mata, anda akan merasa lebih selesa.

  • Remove friend juga boleh menjadi wajib jika dengan adanya orang tersebut di facebook anda, anda tidak boleh menahan hati anda dari mengumpat ataupun mengejeknya setiap kali membaca status yang ditulis. Mungkin kerana benci, bergaduh, berdendam ataupun iri hati. Jika dengan ketiadaan dia lebih menyelamatkan anda dari dosa, maka remove dia dari friend menjadi wajib. Saya pernah berjumpa situasi ini, dan saya nasihatkan supaya dia remove friend sahaja untuk mengelak dari dosa.

  • Add friend boleh menjadi haram, sekiranya bertujuan untuk mendapat akses kepada gambar-gambar peribadi seseorang, ataupun mengintip cerita dan perbualannya, ataupun dengan tujuan mencari keaiban orang tersebut. Perbuatan itu haram dan wasilah kepada perbuatan yang haram, hukumnya juga haram.

  • Kiaskan kepada situasi-situasi yang lain.



KESIMPULAN

Apa yang mahu difokuskan dalam entri ini hanyalah perihal menambah kawan tanpa tapisan dan perlunya anda membuang senarai kawan yang mendatangkan mudarat kepada diri dan iman anda. Termasuk padanya, wanita suka tayang gambar, lelaki yang suka tayang video tak senonoh ataupun orang berniaga yang setiap kali melihat post darinya akan membuatkan anda naik gila.

Ingat, wasilah kepada perkara yang wajib , hukumnya adalah wajib. Dan wasilah kepada perkara yang haram, maka hukumnya adalah haram. Selamat melakukan proses pembersihan.



Sekian.
3 Jun 2012

Baitul muslim




Ramai orang menganggap baitul muslim itu soal mencari jodoh. Ada berpendapat, soal nikah kahwin. Tak kurang juga berpendapat, ia soal menentukan jodoh untuk sesama ahli jemaah Islam, ataupun sesama golongan huffaz ataupun sesama kumpulan tertentu.



BASIC

Asasnya, setiap manusia yang hidup di atas muka bumi Allah ini ada tugas dan peranan masing-masing. Dua perkara pokok yang menjadi teras kepada kehidupan manusia ialah aspek ‘Ubudiyyah ( perhambaan ) dan Khilafah ( pemerintahan ). Sehingga para ulamak menyebut bahawa tidak lengkap hidup seorang manusia itu dengan hanya beribadah dan mengenepikan aspek pemerintahan, begitu juga tidak lengkap dengan hanya menumpukan pemerintahan tetapi melupakan ibadah.

Atas dasar ini, Fathi Yakan menulis sebuah buku penting yang berterusan dijadikan rujukan hari ini, iaitu maza ya’ni intimai lil Islam – apa ertinya aku menganut Islam. Fokus utama adalah menyedarkan kembali manusia bahawa hidup mereka di atas muka bumi ini bukan hanya untuk menunaikan kehendak perut dan hawa nafsu sahaja. Bukan juga untuk berasa selesa dengan status ‘Islam’ di atas kad pengenalan mereka. Tetapi supaya mereka sedar dan faham, bahawa mereka ada tanggungjawab penting, iaitu mengamalkan Islam yang syumul dan mengajak seluruh manusia ke arah Islam yang syumul.


Maka proses ini perlu kepada suatu input penting yang dinamakan sebagai Tarbiyyah.


Tarbiyyah ini ertinya mendidik. Apa yang nak dididik? Yang nak dididik adalah jiwa. Hati manusia. Didikan ini matlamatnya adalah bagi memastikan hati itu tunduk patuh kepada Allah dan memastikan hati itu bulat kepada Islam. Tarbiyyah ini penting untuk menundukkan nafsu dan memastikan seseorang manusia tidak tergelincir dari landasan sebenar menuju Allah.

Pokoknya adalah ; mengejar keredhaan Allah dengan apa yang Allah suruh dan menumpukan masa dan tenaga demi mencapai cita-cita Islam, antaranya melalui amar makruf dan nahi mungkar.




MARHALAH BAIT MUSLIM

Bertitik tolak dari proses di atas, yang mana ianya hanya melibatkan proses tarbiyyah diri sendiri, kini ia naik satu anak tangga berupa cantuman antara dua individu yang mempunyai matlamat yang sama serta melaksanakan usaha yang sama. Kedua-dua individu yang mahu menyatukan hati mereka ini berdiri atas titik yang jelas, iaitu mahu meneruskan dakwah dan cita-cita Islam, mahu melahirkan zuriat yang soleh solehah serta memastikan gerak kerja Islam bertambah laju dan maju ke hadapan.

Perhatikan.

Proses baitul muslim itu langsung tidak kelihatan seperti sekadar menunaikan tuntutan fitrah. Ia juga langsung tidak nampak seperti sekadar mahu menyatukan dua insan yang bercinta, sekadar mahu mengelak dari maksiat dan sebagainya.


Ia punya matlamat yang lebih besar dan target yang lebih penting!


Rumahtangga yang dibina benar-benar berpaksikan keikhlasan masing-masing untuk meneruskan gerak kerja mereka sebelum berkahwin. Gerak kerja ini subjektif, tetapi matlamatnya sama, iaitu untuk mempromosikan Islam. Maka sudah tentu perkahwinan itu semakin menjadikan mereka kuat, aktif dan bersemangat demi cita-cita Islam. Bukannya semakin melemahkan atau menjauhkan mereka dari medan dakwah.






KAHWIN SESAMA JEMAAH, SESAMA KUMPULAN, SESAMA HUFFAZ

Bertitik tolak dari matlamat di atas juga, lahir satu alternatif yang tidak kurang pentingnya terutama di kalangan jemaah Islam seluruh dunia, iaitu menjodohkan sesama ahli jemaah. Sekadar pengetahuan saya, usaha ini berlaku dalam banyak gerakan Islam namun tidaklah sampai tahap mewajibkan atau memaksa mereka menerima calon tertentu.

Usaha ini timbul demi memastikan ahli yang aktif dalam gerak kerja dakwah, akhirnya tidak menjadi lemah atau ghaib akibat bertemu jodoh dengan orang yang tidak mempunyai ideologi perjuangan. Ini kerap kali berlaku di kalangan muslimat. Akibatnya, ramai juga yang sewaktu di kampus begitu lantang dan begitu aktif dalam dakwah dan tarbiyah, akhirnya setelah berkahwin hidupnya hanya seperti orang biasa. Bahkan ada juga yang berubah ideologi, berubah cara berpakaian dan sebagainya.

Bagi mengelakkan keadaan ini dan bagi menyelamatkan aktvitis Islam khasnya muslimat yang berpotensi ini, maka mereka digalakkan untuk memilih suami yang menyokong mereka dan sudah tentu ia bertambah mudah jika suami itu mempunyai idelogi perjuangan yang sama dengan mereka. Begitu juga muslimin digalakkan untuk mengahwini ahli gerakan mereka sendiri, yang mana ia sangat penting bagi mengelakkan muslimat diambil oleh orang yang tidak menyokong mereka.

Apa yang mereka kejar adalah survival perjuangan mereka, bukan kepentingan individu. Namun kebiasaannya, proses ini menjadi sukar dek kerana tidak ramai muslimin yang sanggup mengahwini muslimat yang kurang cantik walaupun cerdik dan terdidik. Itu sekadar apa yang saya tahu.

Situasi berkahwin sesama huffaz juga tidak jauh beza. Berkahwin sesama huffaz adakala menjadi satu galakan kepada para huffaz. Tujuannya sama, iaitu bagi memastikan yang hafizah tidak lemah dalam perjuangannya kerana didokong oleh suaminya yang juga seorang hafiz.

Perlu diketahui, bahawa kehidupan seorang penghafaz Al-Quran dengan orang biasa sangat jauh berbeza. Paling ketara mengenai jadual harian. Para huffaz harus memperuntukkan masa yang cukup banyak dengan Al-Quran serta jadual i’adah mereka berbanding orang biasa yang membaca Al-Quran hanya sunat sahaja pada mereka. Lalu tanpa sokongan yang kuat, boleh jadi hafiz atau hafizah itu akan mundur, kurang motivasi, hilang semangat dan akhirnya hilang jatidiri sebagai seorang penghafaz Al-Quran.

Dan itulah yang sedang berlaku secara meluas dalam masyarakat hari ini. Sehingga sukar sekali dikenali siapa penghafaz Al-Quran dan siapa bukan, melainkan jika diakui sendiri oleh orang tersebut.



RELEVANKAH?

Timbul persoalan. Sejauhmana relevan mencari jodoh sesama ahli jemaah, sesama kumpulan ataupun sesama golongan huffaz sahaja? Adakah benar, matlamat ataupun target yang diimpikan benar-benar tercapai selepas berkahwin? Adakah benar orang-orang yang melaksanakan baitul muslim dengan cara sebegini akhirnya betul-betul aktif dan hebat dalam perjuangan?


Jawabnya tidak.


Pertama, kita perlu faham bahawa perkahwinan itu suatu ujian, bukan semata-mata nikmat. Bahkan anak dan isteri itu dikatakan sebagai antara ujian besar kepada manusia. Bukan sedikit orang yang berkahwin sesama ahli jemaah, sama fikrah sama ideologi, sama-sama aktif dalam dakwah, tetapi setelah berkahwin senyap sunyi dari perjuangan. Bukan sedikit tetapi sangat ramai. Maka berkahwin sesama jemaah juga bukanlah tiket untuk menjamin istiqamah ataupun tidak seseorang itu dalam perjuangan.

Begitu juga kahwin sesama huffaz. Situasi yang sama juga berlaku. Bahkan ada juga hafiz atau hafizah yang berkahwin dengan orang biasa, tetapi penjagaan Al-Quran mereka bertambah baik dan cemerlang.

Namun begitu perlulah diingat dan difahami dengan baik. Bahawa apa yang ada pada manusia itu adalah usaha. Manusia disuruh berusaha dan mengambil asbab. Itu akidah kita. Sebagai contoh, dengan asbab makan nasi maka kita menjadi kenyang. Tetapi tiada siapa yang boleh menjamin kekenyangan itu melainkan Allah. Apa-apa hal, balik kepada Allah.

Sama juga, dengan asbab berkahwin sesama huffaz, maka kita harapkan Al-Quran kita terjaga, hafazan kita makin mantap dan perjuangan kita dalam bidang Al-Quran semakin hebat. Tetapi target tersebut tidak semestinya tercapai. Bahkan saya melihat, isu kahwin sesama jemaah, kahwin sesama huffaz atau kahwin sesama apa sahaja entiti yang lain, isunya bukanlah persamaan tersebut, tetapi isunya adalah sejauh mana kefahaman dan keyakinan seseorang itu dalam gerak kerja dakwah. Andainya ada kefahaman yang jitu, keyakinan yang padu, insyaAllah pernikahan berlainan entiti pun tidak akan menjejaskan.

Kerana itu, niat di awal perkahwinan ataupun sewaktu mahu membina baitul muslim itu perlu jelas dan terang. Biar kerana Allah, jangan kerana yang lain.





APA BEZA NIKAH BAITUL MUSLIM DENGAN NIKAH YANG LAIN?

Ramai orang bernikah di sekeliling kita. Ada yang nikah kerana rupa, ada yang nikah kerana cinta, ada yang nikah kerana sudah dewasa dan ada yang nikah kerana agama. Ini bukanlah persoalan nikah itu sah ataupun tidak sah. Kalau cukup rukun nikahnya, maka sahlah nikah.


Tetapi yang membezakan antara kesemua itu adalah matlamat, tujuan dan target.


Baitul muslim mahukan :

  • Pernikahan kita kerana Allah dan kerana perjuangan agamaNya. Ini yang membezakan baitul muslim dengan yang lain.
  •  Pencapaian kepada sakinah, mawaddah dan rahmah.
  •  Pernikahan ini dapat mencetus komitmen yang lebih tinggi kepada agama.
  •  Pernikahan ini dapat memastikan kelangsungan tarbiyah untuk suami dan isteri.
  •  Paling penting, daripada pernikahan ini lahirnya zuriat yang soleh dan solehah bagi meneruskan cita-cita perjuangan.

Nah. Sekarang sila fahami dengan baik, bahawa baitul muslim itu merupakan satu proses yang tidak sekadar suka-suka ataupun mahu bertemu jodoh semata-mata. Tetapi juga melibatkan soal pemilihan calon yang benar-benar ada komitmen yang tinggi pada agama serta mempunyai kesedaran terhadap cita-cita Islam.

Saya teringat kisah Zainab Al-Ghazali dalam bukunya ‘hari-hari dalam hidupku’, di mana beliau menulis bilamana dilamar oleh suaminya, dia meletakkan syarat bahawa perjuangannya tidak boleh dihalang dan perlu diberi tempat nombor satu. Syarat ini ditegaskan sebelum berkahwin dan setelah dipersetujui, barulah beliau sanggup menjadi isteri.



KESIMPULAN

Baitul muslim ini satu proses yang penting dalam Islam, iaitu memastikan rumahtangga yang terbina menjadi satu kilang pemprosesan yang merancakkan lagi semangat bekerja untuk Islam. Kita tidak mahu menjadi individu yang leka, di mana hidup kita hanyalah soal makan minum dan hanyalah perihal diri dan keluarga kita sahaja, tetapi kita mahu menjadi individu yang menyedari pentingnya pengamalan Islam dalam diri kita dan pentingnya praktikal Islam dalam masyarakat. Dari situ, kita mencari pula calon suami atau isteri yang juga mempunyai kesedaran yang sama ( ataupun boleh dibentuk kesedaran yang sama ) bagi memastikan perjuangan kita untuk Islam tidak terhenti semata-semata disebabkan perkahwinan.

Semoga perkongsian kecil ini menjadi panduan berguna untuk kita semua.



Sekian.



 sumber : link

Updates Melalui E-Mail

Label fail