Istilah "tangkap
basah" amat popular pada zaman dahulu. Iaitu apabila pasangan lelaki dan
perempuan didapati bersekedudukan dalam rumah, dan mereka kemudiannya ditangkap
dan terus dikahwinkan.
Namun, kadang-kadang
perbuatan pasangan ini dirancang sendiri oleh pasangan itu setelah usaha mereka
untuk berkahwin terhalang atas beberapa sebab.
Tetapi pada waktu ini
tangkap basah sudah tidak relevan, kalau adapun tangkapan mereka akan
dibicarakan dan kemudiannya dihukum. Hal ini kerana golongan ini suka mengambil
peluang melakukan maksiat pada saat orang ramai berehat di rumah masing-masing.
Malah waktu penduduk tempatan keluar kerja, pasangan ini balik ke rumah sama
ada rumah lelaki atau wanita. Di sini mereka bebas sama seperti suami isteri.
Kebanyakan pasangan
terbabit mengambil peluang ini bagi memuaskan nafsu masing-masing walaupun
mereka tahu perbuatan itu satu dosa. Dalam fikiran mereka sebanyak manapun dosa
mereka, masih ada peluang diampunkan Allah. Jadi, lakukan dosa dahulu nanti
bertaubat kemudian.
Mereka sanggup
melakukan dosa kerana yakin tidak dapat dikesan oleh penduduk. Mereka ini tidak
pernah berniat untuk berkahwin segera malah apabila wanitanya mengandung,
lelaki itu akan melarikan diri kecuali setelah dipaksa oleh bapa wanita
tersebut. Tidak kurang juga yang bertindak menggugurkan kandungan sebelum
kandungan itu membesar.
Larangan Berkhawat
Persoalannya mengapa
mereka sanggup melakukan itu semua sedang mereka tahu perbuatan dilarang oleh
Islam. Rasulullah s.a.w. dalam hadis daripada Ukbah bin Amir menyebut bahawa
Nabi s.a.w. bersabda:
"Maka jangan sekali-kali seorang lelaki bersendirian
dengan seorang perempuan yang bukan mahramnya kerana yang ketiga ialah
syaitan." (Riwayat Al-Imam At-Tirmidzi)
Mungkin mereka tidak
tahu mengapa Rasulullah melarang lelaki berkhalwat dengan wanita. Mungkin pada
mereka larangan itu menyekat kebebasan hak asasi mereka. Sebab itu ada yang
berkata, pertemuan itu hanya sekadar bualan biasa, tidak lebih daripada itu.
Tetapi sebenarnya Rasulullah sendiri sudah memberi jawapan yang jelas, iaitu
tatkala mereka berdua-duaan akan ada syaitan antara keduanya.
Maknanya apa? Syaitan
yang sifatnya suka menggoda, akan meniupkan rangsangan seks wanita dan
kemudiannya lelaki. Jika rangsangan syaitan itu lambat laun akan berhasil dan
ketika itu pasti berlaku perzinaan. Tetapi jika antara mereka ada orang ketiga
tentu pasangan itu akan berasa malu untuk melakukan zina. Oleh sebab itu bagi
menyelamatkan keadaan Rasulullah menyarankan pasangan itu berteman orang yang
ketiga seperti sabdanya yang bermaksud:
"Tidak halal
bagi seseorang lelaki berkhalwat dengan seseorang wanita yang tidak halal
buatnya kecuali ditemani mahram (mahram-orang yang diharamkan nikah/ kahwin
dengannya. Maka orang atau pihak ketiga yang ada bersama-sama ketika mereka
berdua berkhalwat itu adalah syaitan". (sila rujuk bukuFiqh As-Sunnah oleh
Syed Sabiq).
Sebenarnya larangan
berdua-duaan di tempat yang mencurigakan dan sebaliknya digalakkan bertiga
dalam sesuatu pertemuan adalah untuk merealisasikan perintah Allah dalam
firman-Nya yang bermaksud:
"Dan janganlah
kamu menghampiri zina sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan
satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." (Surah al-Israa' :32)
Jelas dalam ayat di
atas Allah tidak melarang berzina secara langsung tetapi melarang umat Islam
menghampir perbuatan zina. Bayangkan kalau menghampiri zina tidak berlaku,
bolehkah berlaku perzinaan. Sudah pasti tidak berlaku zina. Jadi, larangan
menghampiri zina itu merujuk kepada larangan berkhalwat, pergaulan bebas dan
seumpamanya.
Tidak Takut Dengan
Denda
Umat Islam yang
memahami perintah Allah dalam al-Quran dan larangan Rasul dalam hadis di atas,
pasti tidak tergamak untuk melakukan dosa khalwat. Malah dalam Enakmen Jenayah
Syariah (Negeri Selangor) 2003, kesalahan khalwat dijelaskan bahawa; lelaki
atau perempuan yang didapati berada bersama seorang atau lebih yang bukan
mahramnya di mana-mana tempat terselindung dalam keadaan boleh menimbulkan syak
mereka sedang melakukan perbuatan tidak bermoral.
Manakala hukuman
kesalahan jenayah khalwat ini diperuntukkan dalam undang-undang jenayah syariah
pada Seksyen 29 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, bila sabit
kesalahannya, dendanya tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh
tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Melihat kepada perkembangan
terkini, ternyata umat Islam belum terdidik dengan perintah Allah dan larangan
Rasulullah. Malah tidak gentar dengan peruntukan undang-undang Syariah di atas.
Apakah umat Islam kini rela dihukum? Atau apakah sikap masyarakat Islam kini
seperti mencabar peruntukan undang-undang itu?
Umat Islam tidak
takut dengan ancaman undang-undang itu kerana pada mereka kalau kena denda,
tidak sukar untuk membayarnya. Dan kalau kena penjara, tidaklah lama bahkan
akan dihidangkan dengan makanan yang terkawal lagi baik.
Jelas, penjenayah ini
bukan sahaja tidak takut kepada undang-undang dan hukumannya malah tidak takut
kepada Allah dan hukuman-Nya. Mereka juga tidak malu kepada Rasulullah dan
jiran-jirannya. Ya, kalau begitu keadaannya, boleh jadi mereka ini tidak pernah
sujud menyembah Allah.
Hargailah Diri &
Maruah
Menyedari keadaan
ini, suka saya mengingatkan wanita yang terlibat juga mereka yang berniat untuk
terlibat dalam aktiviti khalwat, hargailah diri anda. Tubuh wanita adalah
ciptaan Allah yang termahal, maka tidak wajar diberikan percuma kepada
seseorang lelaki. Ya, wajarkah barang yang mahal milik anda diberikan kepada
seseorang begitu sahaja? Tentu tidakkan?
Sebenarnya dalam kes
khalwat ini, wanita tersebut telah menggadaikan maruahnya kepada lelaki tanpa
mendapat apa-apa manfaat kecuali mengandung anak luar nikah. Tetapi tahukah
anda, seorang lelaki dalam keadaan ini boleh menyelamatkan diri dan
meninggalkan anda bersama kandungan yang memalukan.
Jadi, apa faedahnya
wanita menggadaikan maruahnya hanya kerana keseronokan sementara. Sebenarnya
walaupun wanita itu tidak mengandung anak luar nikah, hati wanita itu tetap
menderita dan hidup dalam keadaan ketakutan. Walaupun secara zahirnya mereka
rasa seronok melakukan dosa dan maksiat tetapi hakikatnya hati mereka diburu
rasa takut.
Percayalah ketika
melakukan melakukan kesalahan itu, hati mereka sentiasa rasa bersalah pada
orang kampung dan mereka takut kalau dikesan oleh mereka. Mereka juga takut
kalau-kalau ditangkap pihak berkuasa agama. Pada masa yang sama, mereka takut
kalau-kalau diketahui ibu bapa masing-masing.
Bayangkan kalau
setiap hari mereka dalam keadaan itu, di manakah kebahagiaan mereka. Kenapa
memilih kebahagiaan sementara sedangkan kebahagiaan sebenar boleh diperoleh
dengan berkahwin? Tetapi bagaimana kalau wanita itu mengandung anak luar nikah,
di mana hendak disimpankan rasa malu kepada jiran, keluarga terutama ibu bapa.
Sesungguhnya ibu bapa
dalam keadaan ini akan lebih terasa malu jika anak yang dididiknya sehingga
dewasa mencemarkan nama baik mereka. Malah akan terlebih malu kalau anaknya
dibiarkan mengandung tanpa suami. Tetapi bolehkah si anak itu membayangkan akan
kesedihan dan kekecewaan ibu bapanya?
Percayalah kalau
semua ini dapat dirasakan oleh wanita sebelum atau semasa hendak melakukan dosa
dan maksiat itu, pasti kenikmatan sementara itu boleh ditinggalkan dengan
senang hati. Apatah lagi kalau dia rasa takut kepada Allah dan hukuman yang
bakal diterima nanti.
Peranan Komuniti
Gejala bersekedudukan
atau khalwat ini boleh dibasmi dalam sesuatu komuniti jika semua pihak dapat
bertindak sebagai pencegah. Di sini, masyarakat tempatan perlu peka dengan
jiran mereka dan mengenal pasti siapa jiran mereka itu. Seseorang yang baik
akan mengambil tahu status jirannya supaya dengan itu dapat mengesan mana jiran
yang melakukan dosa dan maksiat sama ada pada waktu malam atau siang.
Perhatian jiran ini
akan menjadikan lelaki dan perempuan yang berniat untuk melakukan dosa dan
maksiat terhalang. Hal ini kerana sikap masyarakat setempat itu telah menjadi
mata dan telinga masjid dan kerajaan.
Didik Anak-Anak
Dengan Iman
Oleh sebab itu ibu
bapa perlulah sentiasa mengingatkan anak-anak mereka sama ada lelaki mahu
perempuan agar menjauhi dosa dan maksiat. Ingatkan anak perempuan bahawa
sentuhan lelaki boleh menyebabkan mereka mengandung. Ingatkan juga, jika mereka
mengandung bukan sahaja dia akan malu tetapi ibu bapa juga malu. Dan ingatkan
juga anak lelaki jika mereka merosakan maruah wanita, hakikatnya dia telah
merosakkan maruah ibu bapanya sendiri.
Inilah asas didikan
iman yang boleh diberikan kepada anak-anak. Jiwa mereka perlu disuburkan dengan
rasa takut kepada Allah, gerun kepada neraka-Nya dan cintakan syurga-Nya. Jika
semua ini dapat direalisasikan diri diri semua umat Islam pasti mereka akan
menjaga maruah masing-masing.
Ketika itu umat Islam
akan berada dalam masyarakat harmoni, yang tidak diselubungi gejala maksiat.
Kalau di rumah boleh rasa bahagia, dalam masyarakat juga boleh rasa bahagia,
dan pastinya dalam negara turut rasa bahagia.
-iluv islam