Sedih hati ini tatkala melihat seorang gadis
berniqab meng-upload sekeping foto dengan aksi yang kurang 'cantik' untuk
tatapan mata lelaki bukan mahram di Facebook, satu laman sosial yang cukup
terkenal. Pedih kembali apabila mengingatkan diri ini yang hanya bisa menatap
matanya yang galak dan bundar kerana wajahnya ditutupi itu juga tidak mempunyai
jalinan 'friend' dengannya, apatah lagi yang lain. Terutamanya kaum Adam yang
mungkin tidak semua menguatkan hati agar menundukkan pandangan daripada terus
menatap mata cantik itu.
Namun diri ini tetap tidak bisa menghitung
niatnya. Mungkin dia masih muda. Harus ditunjuk mana jalan yang mesti diambil.
Harusnya kita yang melihat mesti menegur. Bukan silap dia terus begitu. Silap
kita yang tidak berpesan. Hanya mudah dengan terus 'berbunyi' di belakang.
Tolong, yang melihat jangan begitu cepat menghukum. Fahami mereka. Selami hati
mereka. Dan tunjuki apa yang benar. Dengan penuh kasih terhadap saudara
seakidah. Maka dengan itu, bingkisan ini kucoretkan khusus buatmu. Muslimahku
sayang, dengarkan...
Tatkala mengambil kata putus untuk berniqab
maka "Jangan Main-Main"
Sebetulnya, bukan untuk mereka yang berniqab
sahaja. Bertudung labuh juga begitu. Berniqablah, ramai yang mahu menyokong
dari belakang. Namun ingat, apabila kita memilih untuk memakai sebegini,
orang-orang di sekeliling mempunyai high expectation terhadap kita. Apa yang
betul dilakukan kelihatan biasa. Namun apabila sedikit yang silap, itu yang
lebih besar terlihat. Kerana memang namanya manusia, ada yang hanya memandang
sekelumit kesilapan dan keaiban berbanding memperbesar kelebihan dan kebaikan.
Bukanlah bermakna kita harus mengaut segala
pandangan manusia agar segalanya dilihat tinggi pada kita. Bukan, sayang.
Maksudku di sini, kita mesti berjaga-jaga terhadap diri sendiri. Kerana apabila
memakai niqab dan tudung labuh begini, kita membawa bersama maruah Islam. Ya,
maruah Islam. Take it seriously, my love. Memetik kata-kata Phua Chu Kang,
"Don't play play." Jangan main-main.
Ini bukan soal mahu terlihat hanya diri kita
yang baik bersama penampilan, tetapi juga mahu dunia melihat Islam yang tinggi
dan indah nilainya! Jadilah muslimah yang meninggikan Islam. Bukan makin
menjatuhkan.
Akhlak mesti dijaga. Kerana itu buah amal dan
iman. Juga mengelak fitnah. Apabila hanya segelintir yang tidak begitu menjaga
akhlak sejajar dengan cara pemakaiannya, ada manusia yang kurang memahami mula
berbunyi...
"Saya tak bertudung. Bertudung labuh
mana pun orang tu bukan baik sangat. Trust me. Saya dah pernah jumpa. Yang
penting hati..."
"Apa la pompuan ni. Berniqab tapi gambar
dekat Facebook dia, Astarghfirullah ...Wei, tak payah pakai niqab lah
wei..."
"Ala, yang berniqab semua tu bukan
cantik sangat pun, perasan banyak. Melebih je semua tu, dah macam ninja dah aku
tengok. Ceitt. Blah la"
Bukan semua orang mahu faham kita yang begini
tidak semestinya terlihat sempurna tetapi kitalah sendiri harus menjaga sedaya
mungkin! Tidak boleh tidak. Mesti.
Ustaz Pahrol Mohd Juoi mengatakan bahawa
tudung wanita itu terbahagi kepada empat. Tudung pada wajah yang tidak
mengundang fitnah dan kecantikannya hanya khusus buat suami bukan buat lelaki
ajnabi atau bukan mahram. Tudung pada mata yang tidak memandang lelaki lain
selain mahramnya kerana solehah yang hakiki itu tidak dipandang dan tidak
memandang. Tudung pada suara yang tidak dilunakkan dengan tujuan memikat dan
mempersona. Tudung pada hati yang tulus mengingati Allah dengan sentiasa
berzikir.
Muslimahku sayang, apabila ini yang dijaga
maka yang lain pasti turut terjaga. Pergaulan antara lelaki dan perempuan yang
terjaga dengan tidak melampaui batasan syariat. Anggota yang terjaga kerana
peringatan sepi daripada tudung itu sendiri supaya menghindari maksiat. Hati
yang terjaga daripada dicemari rasa riak dan takbur.
Sememangnya perempuan berniqab dan bertudung
labuh ini baik. Baik dengan erti kata sebenarnya. Akhlak mengikut apa yang
diajar Islam. Usah jadikan diri kita pemangsa kepada mereka yang begitu menjaga
turut terkena tempias menjadi mangsa. Fitnah terjadi. Fitnah terhadap mereka
yang berniqab dan bertudung labuh. Kasihan.
Namun, tidaklah pula bermakna harus menukar
meter tudung menjadi semakin pendek kerana bimbang diri hanya membawa fitnah.
Malah seharusnya hati semakin nekad memperbaiki dan menjaga akhlak dan bunga
iman. Begitu, sayang. Apabila punya keazaman sebegitu maka diri telah pun
membuka langkah menuju kebaikan.
Sayangku, jangan memilih memakai begini
kerana lelaki.
Bertudunglah seperti yang diri mahu. Asal
sahaja tudung itu tetap dilabuhkan menutupi dada. Tetap bertudung mengikut
syariat bersama niqabmu. Namun awas pada hati sendiri, sayang. Jagalah ia
selalu. Perhatikanlah ia sentiasa. Kerana dalam kegigihan kita melakukan
kebaikan, syaitan itu juga tetap gigih berusaha membisik halus tanpa diri
sedari.
Tiap kali melangkah keluar dari rumah,
luruskan niat bahawa aku memakai begini hanya kerana Allah. Bukan untuk
mendamba pujian dan hati lelaki. Bukan mahu menunjuk aku sekarang telah berubah
menjadi lebih baik berbanding dahulu. Bukan mahu mengatakan, "Wahai Adam,
lihatlah. Akulah wanita yang paling solehah. Moga sahaja kau jatuh cinta
padaku".
Apabila itu yang terlintas, fikirlah apakah
itu juga yang dipandang Allah? Tidak, sayang! Dia hanya ingin melihat ketulusan
dan keikhlasan niat hatimu untuk berhijrah keranaNya. Apabila hatimu terdetik
berhijrah kerana yang lain, hitunglah apakah amalan ini juga terhitung di
sisiNya. Apabila diri memilih untuk memakai begini, jagalah niat itu sentiasa.
Usah biarkan amalan kebaikan hangus rentung menjadi abu hanya kerana niat yang
terpesong. Istighfarlah sentiasa. Kerana sememangnya kita manusia yang pelupa
dan berdosa.
Utamakan yang lebih penting daripada yang
penting.
Sayangku, pakailah niqab andai diri mahu.
Perkara baik tiada siapa menghalang. Namun ingat, sayang, lihatlah yang lebih
penting daripada keinginanmu untuk menutup muka bersama secebis kain indah itu.
Mahu menjadi baik tidak semestinya dengan berniqab namun berniqablah andai itu
benar menjadi motivasi buat diri untuk menjalani perubahan ke arah yang lebih
baik. Walau begitu, tetap diri ini suka untuk mengingatkan kita bersama agar
melihat perkara yang lebih utama berbanding perkara yang menjadi isu khilaf.
Lihatlah yang lebih penting.
Lihatlah solat lima waktu kita. Apakah
berusaha didirikan awal waktu seperti mana usaha keinginan untuk berniqab?
Apakah terhafal sudah rukun-rukun serta syarat-syarat sah solat? Apakah solat
itu cuba diri hayati supaya lebih khusyuk? Apakah bacaan solat itu diri fahami
maknanya? Apakah solat itu bisa membuatkan diri merasa terlalu dekat dengan
Allah?
Lihatlah hubungan yang terjalin antara
manusia. Apakah ada api permusuhan yang belum terpadam? Apakah hati sering
berprasangka buruk terhadap orang lain? Apakah hati dibisik iri dan dengki akan
kejayaan dan kebahagiaan orang lain? Apakah diri ringan membantu tatkala
sahabat memerlukan pertolongan? Apakah hati itu sentiasa diingatkan agar sering
bersangka baik dengan manusia tiap ketika?
Lihatlah akhlak dalam diri. Nilailah dan
hisablah diri sehari-hari. Apakah hati sentiasa diingatkan agar sentiasa ikhlas
dalam melakukan amalan? Apakah hati itu dididik untuk menyemai rasa rindu
terhadap Rasulullah dengan sunnah Baginda? Apakah diri diajar untuk tekad dalam
menimba ilmu daripada melayan cinta manusia? Apakah hati sentiasa ditiup bayu
semangat tabah dan gigih dalam menjalani ujian daripada Allah?
Sayang, lihatlah yang ini terlebih dahulu
berbanding niqab. Kerana kewajipan ini lebih dituntut. Jadilah muslimah yang
bijak menentukan perkara yang paling penting dalam kehidupan. Jadilah muslimah
yang bijak dengan melakukan perkara yang dirasakan penting tetapi tetap
mengutamakan perkara yang lebih penting. Maka sayangku, ini lebih baik.
Mengapa mesti pandai mengutamakan hal yang
lebih penting daripada yang penting? Andai kita sebenarnya mengetahui mentaati
ibu bapa itu lebih dituntut daripada pemakaian niqab, maka tiada yang keliru
dalam permasalahan "mak ayah saya tak bagi saya berniqab". Pilih ibu
bapa berbanding niqab. Kerana taat ibu bapa itu wajib dan berniqab itu hanya
sebahagian isu khilaf. Jelas, sayang?
Andai kita muslimah yang berniqab maka usah
dipandang rendah kepada mereka yang memakai pashmina. Andai kita memakai tudung
labuh maka jangan merasa lebih baik berbanding mereka yang memakai tudung
melilit. Masih sehingga kini diri tiada mengetahui bagaimana pandanganNya.
Kerana Dia lebih arif akan hati dan niat kita lebih daripada meter tudung itu.
Takutlah pada hati sendiri yang suka menilai manusia dalam diam. Sehingga wujud
rasa ujub terhadap diri sendiri.
Apabila benar niat kerana Allah dan tahu
mengapa diri memilih memakai begini, percayalah itu yang akan memberi kekuatan
berterusan. Walaupun ramai yang memandang serong. Walaupun ramai cuba menyalah
anggap. Walaupun ramai melihat diri sebagai 'kamu-orang-pelik-ewww'. Kerana
pemakaian hanya diniatkan kerana Allah. Sedikit pun kata-kata manusia tidak
akan memberi kesan kepada hati seandainya benar ikhlas. Right? So, just go with
what you're doing now, my love!
Andai terasa lemah, renung kembali niat dalam
hati. Apakah benar di jalannya. Jangan pernah putus harapan dalam memperbaiki
diri dan mengejar kebaikan. Kerana itu semua tidak akan datang tanpa keinginan
yang kuat dan hati yang gigih menghadapi ujian! Contohilah Ummul Mukminin.
Contohi peribadi mereka dan jadikan ia semangat buat diri untuk terus melangkah
dalam mendidik hati menjadi muslimah sejati. Terus kuat, sayang!
Sayangku, pakailah dan hiasi bersamanya
dengan ilmu dan akhlak.
Pakailah niqab itu. Pakailah tudung labuh
itu. Pakailah pakaian yang menutup aurat mengikut garisan Islam. Andai pandai
menyentuh isu kahwin tidak perlu menjadi begitu sempurna tetapi usaha itu mesti
ada, begitu juga soal ini. Tidak perlu menunggu diri menjadi sempurna pada tiap
sudut inci seperti meter kainnya, tetapi tekadkanlah jua dalam hati keazaman
dan keinginan menjadi lebih baik. Bersama ilmu dan akhlak.
Yang kurang benar kelihatannya apabila
dipakai tanpa ilmu dan keazaman pembaikan akhlak. Itu yang akhirnya mula terjadi
fitnah kepada pemakai niqab dan tudung labuh. Kerana itu niat amat
dititikberatkan. Apabila niat benar, tindakan yang diambil juga benar. Apabila
niat ingin memakai niqab sebagai dorongan menjadi lebih baik, maka diri akan
berusaha walau bagaimana cara sekalipun untuk menjadi muslimah yang terbaik!
Apabila niat asal terpesong maka itu yang dibimbangi apabila hati mula menurut
nafsu. Jadikan niqab sebagai dorongan untuk menjadikan diri lebih baik. That's
the best. Namun, andai diri bukan daripada kalangan niqabis, it's alright dear.
Kita semua sama sahaja. Kerana tetap sahaja taqwa itu menjadi pembeza. Dan
tetap sahaja yang istimewa itu buat muslimah yang menjaga auratnya.
Jaga akhlak. Jaga akhlak. Dan jaga akhlak.
Kerana manusia tidak akan bertanya, "Tinggi manakah ilmu yang ukhti
miliki?" tetapi manusia akan mula menilai melalui peribadi. Akhlak. Yes,
exactly my love. Akhlak hasil daripada ilmu yang dimiliki. Tuntutlah ilmu yang
benar dan secara sendiri ia akan dimanifestasikan dalam akhlak yang juga benar.
Kerana ilmu itu berperanan mewujudkan perasaan khauf atau takut kepada Allah
sehingga melahirkan akhlak yang baik. Biarlah qudwah itu bersama akhlak dan
tudung.
Tidak semestinya berniqab lebih baik daripada
yang memakai pashmina. Tidak semestinya yang bertudung labuh lebih baik
daripada tudung melilit. Tidak semestinya yang memakai tudung melilit lebih
baik daripada yang berniqab. Tidak semestinya mereka yang memakai pashmina
lebih baik daripada yang bertudung labuh. Kerana? Kerana tinggalkanlah itu
semua kepada rahsia penilaian Allah.
Dan kerana setiap daripada kita punya peluang
berubah ke arah kebaikan selagi nafas masih terhela. Jangan persiakannya. Maka
sayangku, genggamlah jemari sahabatmu yang lain dan bantu. Sebarkan kecintaan
terhadap sesama muslimah. Padamkan segala prasangka andai ada ternyala.
Jadi baik itu bukan diukur pada tudung. Jadi
baik itu adalah pada hati yang ikhlas. Namun tudung mengikut syariat itu tetap
wajib. Jalankan walaupun ada yang terasa payah! Kerana percayalah tudung itu
akan mula menjernihkan hati yang kotor. Mendorong hati dan keyakinan ke arah
jalan cahaya. Believe me!
Mari kita sama-sama. Tolong ajari diri yang
menulis ini. Kerana sungguh, diri ini juga pemakai tudung labuh yang hanya
bijak berkata-kata namun masih banyak kekurangan yang mesti diperbaiki.
Terlalu.
Wallahua'lam. Last word. Uhibbukunna fillah
ya akhowat!