Bagi kebanyakan individu, pada bulan inilah mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk menghabiskan bacaan 30 juzuk Al-Qur’an sebagai satu kelaziman.
Al-Qur’an adalah petunjuk (huda) dan pembeza (furqan). Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah, ayat 185 :
"(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang bathil). Kerana itu, barangsiapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu, dan barangsiapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur".
Kesilapan kita dengan Al-Qur'an
01. Kebanyakan kita berusaha menjaga fizik Al-Qur’an. Kita tidak akan meletakkan Al-Qur’an di lantai atau di kerusi atau lain-lain tempat yang kita rasakan tidak sesuai. Kita akan marah jika mendapati sesiapa saja yang tidak menjaga Al-Qur’an.
02. Kita turut sensitif dan merasa amat marah apabila mendengar dan melihat Al-Qur’an dipijak, dibakar atau dibuang di dalam tandas. Kita juga tidak akan berdiam diri jika Al-Qur’an dihina, diremeh atau dipermainkan di dalam apa bentuk sekalipun.
03. Umat Islam berusaha untuk menjaga fizik Al-Qur’an, tetapi tidak berusaha untuk memahami isi-isinya dan menerapkan hukum-hakamnya.
04. Umat Islam marah apabila Al-Qur’an dihina, tetapi mereka sendiri menghina Al-Qur’an dengan tidak mengamalkan hukum-hukum yang terdapat di dalamnya.
05. Umat Islam sakit hati bila Al-Qur’an dikatakan telah ketinggalan zaman, tetapi mereka sendiri telah berzaman meninggalkan ajaran Al-Qur’an.
06. Di antara salah faham yang ketara tentang Al-Qur’an oleh umat Islam adalah mereka hanya mengambilnya sebagai bahan bacaan semata-mata tanpa difahami dan diamalkan isi kandungannya.
07. Al-Quran bukan kitab untuk mendapat ilmu pengetahuan semata, ia mengandungi hukum-hakam yang wajib diamalkan oleh manusia.
Saudara/i ku,
Apakah sesuatu itu boleh dikatakan sebagai petunjuk jika kita tidak memahaminya, apatah lagi tidak mengamalkannya? Petunjuk adalah lawan dari kesesatan, maksudnya jika seseorang itu tidak memahami petunjuk, maka ia termasuk di dalam golongan yang sesat.
Mari kita jadikan Ramadan dan Nuzul Qur’an ini sebagai momentum untuk kembali kepada fahaman yang benar terhadap Al-Qur’an.
Mari kita jadikan Ramadan ini sebagai momentum untuk meneguhkan tekad kita untuk senantiasa muhasabah diri kita dengan Al-Qur’an; membaca, memahami dan menghayati maknanya; mengamalkan isi kandungannya; serta menjadikannya sebagai sumber hukum untuk mengatur segala urusan kehidupan kita dan sumber penyelesaian atas seluruh masalah kita
0 tautan:
Catat Ulasan