Makin hampir dengan penamatnya dan makin hampir Ramadhan ini melabuhkan tirainya. Sungguh benar ini bulan Rahmat dan penuh Keberkatan. Namun secinta mana sekalipun kepada sesuatu, hakikat yang tidak dapat kita ubah adalah.... Ianya tidak pernah kekal. Dan waktu tidak pernah juga menanti kita. Sama ada kita memenafaatkannya, atau kita mengsia-siakannya. Ia tetap akan pergi dan pasti akan pergi. Dan pasti juga datang kembali. Namun persoalannya, adakah kita masih disini menanti kehadirannya? Atau Ramadhan ini adalah Ramadhan yang terakhir buat kita?
Aku tidak pasti dari mana ucapan ini. Tetapi yang nyatanya, Aku hanyalah mengambilnya dari seseorang yang lain. Katanya:
“Salah satu dari tanda-tanda ibadah puasa kita diterima Allah, adalah disiplin dan akhlak dibulan Ramadhan itu dapat diamalkan didalam kehidupan kita walaupun selepas Ramadhan berlalu. Dan salah satu dari tanda ibadah puasa kita tidak diterima Allah pula adalah, akhlak dan disiplin di bulan Ramadhan itu tidak dapat kita bawa dan amalkan sebaik sahaja habis bulan Ramadhan.”
[Dengan lafaz yang sedikit berbeza]
“Yaa Allah. Dimanakah letak dan nilainya ibadah puasa kami yaa Allah? Kasihankanlah kami.”
Dan sesungguhnya orang yang melakukan pekerjaan yang sia-sia itu adalah orang yang mengerjakan ibadah, tetapi tidak mengerjakan dengan sebaik-baiknya dan gagal menghayati ibadah tersebut. Malah mencampur adukkan didalamnya dengan segala barang yang ditegah. Perumpamaan seorang yang memikul beban yang sangat besar dan berat kesuatu tempat. Sedangkan dia tidak mengetahui apakah yang dipikulnya, lalu dia tidak mengusahakannya dengan sebaik mungkin. Sehingga berciciran disana sini. Dan apabila tiba kedestinasinya, tiadalah sedikitpun yang berbaki. Sesungguhnya orang itu adalah orang yang mengerjakan pekerjaan yang sia-sia.
Bukanlah yang dimaksudkan ibadah puasa itu adalah ibadah yang sia-sia. Tetapi orang yang tidak mengerjakannya dengan sebaik-baiknya itulah yang dikatakan sia-sia.
“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertaqwa.”
[QS. al-Baqarah :183]
“Yaa Allah, Yaa Rabbi, Yaa Rahman, Yaa Rahim. Sesungguhnya kami sangat takut bila mengingati mati. Tetapi tidak juga kami menghindarkan diri dari yang sia-sia. Dan merapatkan diri kepada yang dikatakan saham-saham Syurga. Masih juga kami cintakan perkataan-perkataan manis dunia yang sementara. Dan asyik dengan belaian-belaian fitnah yang indah pada kulitnya tetapi berulat didalamnya. Yaa Allah, selamatkanlah kami.”
Katakanlah (wahai Muhammad): "Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya? (Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan". Merekalah orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan denganNya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka akibatya Kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka, pada hari kiamat kelak.
[QS. Al Kahfi (18): 103-105]“ Yaa, Allah, kasihankanlah kami. Selamatkanlah kami dari kerugian yang sangat besar itu.”
"Siapa yang tidak menyayangi manusia maka tidak disayangi Allah 'azza wajalla."
[HR.Shahih Muslim : 4283]
“Perumpamaan orang yang beriman yang saling mencintai dan saling menyayangi serta saling mengasihi bagaikan satu tubuh, apabila satu anggota menderita sakit, maka yang lain ikut merasakan hingga tidak bisa tidur dan merasa demam.”
[HR. Bukhari dan Muslim] “Yaa Allah, tingkatkan rasa kasih sayang didalam hati kami”
Dan sesungguhnya Ramadhan itu memupuk rasa kasih didalam hati orang-orang yang beriman. Supaya menjadi insan yang lebih prihatin kepada saudaranya. Dan jika kita masih tidak menjumpai sifat-sifat tersebut didalam diri kita sedangkan Ramadhan hampir melabuhkan tirainya, dan kita masih jauh lagi dari ibadah puasa yang sebenar. Masih terkapai-kapai mencari erti Ramadhan. Sedangkan bulan yang penuh keberkatan ini telah hampir kepenghujungnya. Sesungguhnya kita bukanlah dari golongan yang berfikir. Ayuh, bangkit, insaf. Kerana masih belum terlewat untuk mengatur langkah kepada Allah.
“Wahai Tuhan, tiada Penguasa selain Engkau yaa Allah. Pandangilah kami. Kasih dan kasihankanlah kami. Sesungguhnya kami orang-orang yang tertipu yang merasakan diri ini benar. Lalu kami mohon Engkau tunjukilah kami. Janganlah biarkan kami terus berada didalam kesesatan.
Sesungguhnya kami adalah orang-orang yang menzalimi diri sendiri. Ampunkanlah kami. Dan janganlah Engkau biarkan kami. Kerana jika demikian, akan gembiralah iblis laknatullah. Engkau turunkanlah taufiq dan hidayah kedalam hati kami. Sesungguhnya Engkau berkuasa diatas setiap sesuatu. Dan tidak ada yang membatasi Kehendak Engkau yang Maha Berkehendak”
Hanyut jauh
Perlahan-lahan bersama pasang surut air,
Membawa hari dan malam yang diberkati
Bersamamu, wahai perahu yang berharga!
Bolehkah engkau lewatkan barang sedikit?
Aku hanya punyai sekelumit hadiah darimu!
Terdampar di tanah
Ditanah fana ini ,
Terperangkap dalam fatamorgana
Tiada apa jua hanya pasiran panas
Aku memeluk dengan kedua-dua belah tangan!
Hanya untuk menemukan
Permata kehidupan,
Terbentuk dengan
Hari dan malam pengorbanan.
Pabila engkau membuat kunjungan tahun hadapan
Aku termenung dengan air mata
Adakah aku masih berada di sini?
Adakah ini amalan terakhir,
Aku berdoa..aku adalah salah seorang penghuni syurga
0 tautan:
Catat Ulasan