Memang betul semua lelaki mahukan pasangan yang cantik. Tetapi benarkah cantik itu yang akan mereka nilaikan apabila bergelanggang di pentas rumahtangga nanti?
Semua orang tahu bahawa kecantikan itu satu
nilai yang tinggi. Seorang yang mahu memilih perhiasan rumah, pasti akan dicari
yang cantik. Pakaian juga begitu, nilainya pada cantik. Makin cantik, makin
tinggi harganya.
Dalam bab memilih pasangan, cantik memang
dianggap sebagai nilai utama. Bahkan terdapat amalan dalam sesetengah
masyarakat, semakin cantik si gadis maka semakin tinggi harga mahar dan
hantarannya.
Tetapi awas !!!!
Cantik pada nilaian seorang lelaki akan terus
berubah apabila memasuki dunia perkahwinan. Dunia yang kerapkali menjadikan si
cantik tidak menang dengan hanya bermodalkan cantik. Kerana itu perlu difahami
dengan jelas, bahawa perkahwinan itu bukan hanya cerita dalam bilik tidur.
Bukan hanya pada kemanjaan, lemah gemalai,
ketawa mengusik, berwangi-wangian, bersolek, berdandan dan sebagainya.
Perkahwinan adalah suatu ranjau yang luas. Tidak mungkin ditempuh dengan
seronok-seronok sahaja.
Maka si cantik yang hanya bermodalkan cantik,
bakal tersepit apabila semakin lama menjadi ahli kepada dunia rumahtangga.
Kalau sebelum berkahwin, rengekan manjanya
sudah cukup menjadikan si lelaki mengalah, selepas berkahwin mungkin tidak
lagi. Kalau sebelum berkahwin, berlagak comel itu dilihat sebagai comel,
selepas berkahwin ia mungkin lebih ditafsirkan sebagai mengada-ngada.
Jangan salah faham. Ia sama sekali bukan
disebabkan oleh faktor bosan, jemu dan yang sewaktu dengannya.
Ia soal praktikal. Soal realiti. Soal
tindakan, bukan teori.
Selepas berkahwin, cantik pada nilaian
seorang lelaki bukan pada kecantikan fizikal atau luaran seorang isteri. Anda
berdandanlah sehebat mana sekalipun, jika anda gagal menyelami perasaan sang
suami, pada dia anda tiada erti.
Semburlah perfume sebanyak mana sekalipun ke
tubuh anda, jika anda tidak pandai mengurus atur rumah dan memastikan rumah
anda kemas, bersih dan tersusun setiap masa, maka pada suami, anda seolah tiada
erti.
Kerana apa?
Kerana mereka menganggap isteri mereka
sebagai teman, kawan dan orang yang sama-sama berperanan. Bukan model. Bukan
ratu. Bukan permaisuri.
Tetapi anda mungkin beruntung jika takdirnya
anda bersuamikan lelaki yang tahap sabarnya luar biasa. Mungkin pada satu
tilikan, ia kelihatan seperti ‘kesabaran’ yang luar biasa. Tetapi pada tilikan
yang lain, dia sebenarnya mungkin malas melayan sikap negatif anda, atau
sentiasa mengalah walaupun tidak suka dengan perangai anda. Mungkin untuk
jangka masa pendek, ia kelihatan ok. Tetapi untuk jangka masa panjang, perlu
juga disedari bahawa pasangan anda itu manusia dan bukannya malaikat.
CANTIK
Saya bercakap tentang segelintir wanita yang
suka menjadikan kecantikan mereka sebagai modal untuk bahagia. Maka saya katakan
tidak.
Besar mana sangatlah nilai cantik itu dalam
rumahtangga?
Malanglah kalau seorang gadis tidak kisah
dengan kekemasan dirinya, kekemasan tempat tinggalnya, kemahiran membuat kerja
rumahnya, kemalasan yang berakar umbi dalam dirinya dan segala perangai negatif
yang lain, dengan beranggapan bahawa dia cantik, dan dia akan bahagia. Dia akan
beroleh suami yang sayangkan dia dan tidak kisah dengan sikap negatif yang ada
padanya.
Saya katakan bahawa wanita sedemikian adalah
wanita yang malang.
Cuba anda lihat contoh. Seorang suami yang
pulang dari kerja dalam kepenatan, dia bukan hanya mahukan senyuman anda di
muka pintu, atau segelas air yang anda hulurkan. Dia mahukan anda memahami
dirinya. Ada banyak cara lelaki minta difahami. Antaranya adalah dengan tidak
menambahkan kepenatannya dengan soalan-soalan bodoh atau kerenah-kerenah yang
menyakitkan hati.
Tetapi bayangkan, kalau seorang isteri yang
hanya cantik tetapi tidak cerdik dan tidak matang. Suami pulang disambut dengan
senyuman menawan, pakaian cantik dan wangi semerbak. Tetapi belum pun sempat
suami duduk di sofa, mulutnya sudah berceloteh itu dan ini. Katakan sebelum
suami pulang tadi, ada berita buruk yang diterima atau ada masalah yang
berlaku. Masa itu juga lah semuanya diluahkan pada sang suami, yang masih
terkial-kial menghilangkan penat.
Dalam situasi tersebut, pertengkaran mungkin
terjadi. Waktu itu, dia tidak kisah pun walau anda secantik bidadari.
Situasi yang lain. Suami seorang yang aktif,
suka berfikir, banyak idea dan gemar berhujah. Suami sukakan percambahan idea
dan mahukan teman berfikir yang matang. Bagaimana jika isteri hanya cantik,
tetapi setiap lontaran suami tidak bersambut? Suami bercakap tentang
perancangan keluarga, isteri hanya mengangguk dan mengiyakan. Suami bercakap tentang
strategi kewangan keluarga, isteri hanya mengikut dan mengiyakan.
Lama kelamaan, pertengkaran boleh berlaku.
Dan waktu itu juga, cantik tiada makna.
MATANG
Percayalah, seorang suami memang mahukan yang
cantik sebagai pasangan, tetapi hakikatnya dia LEBIH perlukan yang matang
sebagai teman.
Maka pokoknya di sini bukanlah pada anda itu
cantik atau tidak cantik. Apa yang lebih utama adalah pembentukan diri, sifat
dan sikap anda dalam menuju ke alam rumahtangga. Buanglah sifat negatif yang
anda dan berusahalah membentuk kematangan dalam diri.
Cuba belajar bertolak ansur dengan housemate
atau roomate anda, kerana itu suatu latihan untuk anda bertolak ansur dengan
pasangan anda nanti. Cuba belajar mengurus diri dengan teratur dan mengurus
rumah atau bilik anda dengan konsisten, kerana itu juga suatu latihan untuk
melengkapi kebahagiaan anda suatu hari nanti.
Belajar dan terus belajar. Jangan selesa
dengan kecantikan dan paras rupa, sehingga anda bodoh sombong untuk belajar dan
terus ego untuk berubah. Kelak, anda sukar untuk bahagia.
Justeru, artikel ini mengajak anda yang
mungkin berada dalam situasi di atas, atau mengenali rakan-rakan yang sedang
berada dalam kemelut di atas, supaya sama-sama kita sedar. Lebih-lebih lagi
wanita, kebersihan diri dan tempat tinggal sebelum berkahwin perlu
dititikberatkan.
Ingat, anda akan beralih kepada sebuah
kehidupan yang sungguh praktikal, bukan teori yang mengasyikkan!
sekian.
0 tautan:
Catat Ulasan