Golongan yang sedar akan tanggungjawab untuk mengajak, mendidik dan memberi faham adalah golongan yang sedikit. Jiwa mereka mahukan pencerahan, bukan pergolakan yang berpanjangan.
Purdah = Ustazah
Berpurdah atau berniqab, secara mudah akan
dilabel sebagai ustazah.
Fikiran sebegini, dianggap betul pada
sebahagian orang dan itulah yang mereka pegang zaman berzaman. Orang yang
menganggap pernyataan ini betul, adalah orang-orang awam yang menilai segala
perkara melalui zahiriah semata-mata. Seorang ustaz mesti pakai kopiah. Siapa
yang selalu pakai serban, dia adalah ustaz. Siapa yang selalu pakai tudung
labuh, dia adalah ustazah.
Sedang hakikatnya tidak begitu. Ustaz atau
ustazah, boleh saja dilabel kepada sesiapa sahaja, apatah lagi jika yang
dinilai hanyalah pakaian. Walhal, label itu tidak ada kena mengena dengan soal
pakaian secara khusus. Ia berkait rapat dengan soal warak, zuhud, alim dan
bijaksana pada seseorang. Semestinya, kemahiran dalam bidang agama adalah teras
kepada kelayakan seseorang berada di tempat ustaz atau ustazah. Itu secara
hakikat bukan semata-mata persepsi atau gelaran.
Namun perlu diingat. Mahu atau tidak, kita
harus terima bahawa dalam masyarakat kita tidak semuanya mempunyai kefahaman
agama yang baik. Masih ramai yang jahil dan tak kurang juga yang berlagak tahu
– enggan mengaku jahil.
Maka kalau anda ingin memakai purdah atau
niqab, sila ambil kira juga kefahaman masyarakat dalam menilai diri anda.
Fenomena Niqobis
Di alam maya ini, lewat aktiviti berfacebook
ataupun berblogwalking, secara jujurnya saya melihat semakin ramai wanita yang
memakai purdah atau niqab. Tak kurang juga yang menjadikan purdah dan niqab itu
sebagai identiti mereka.
Apabila diperhati kepada apa yang dicatat di
blog-blog mereka, semuanya cenderung mengajak pembaca kepada nilai ‘ubudiyyah
kita kepada Allah. Banyak ayat-ayat tazkirah, firman dan sabda serta tidak
kurang juga artikel-artikel agama yang disalin dari pelbagai sumber.
Sekali imbas, saya yakin jiwa mereka sangat
lunak dengan agama.
Tetapi suatu keanehan yang paling ketara
adalah sebahagian mereka mempunyai tabiat tidak sihat yang sangat bertentangan
dengan sunnah berpurdah itu sendiri. Ini mencetus suatu kepelikan yang tidak
kunjung sudah di hati saya. Dalam hal ini, saya mempunyai beberapa pendapat :
Pertama :berpurdah itu khilaf antara wajib ataupun sunat. Ada yang menganggap sebagai wajib maka dia mengharamkan wajahnya dari ditatap, dengan meyakini bahawa wajahnya itu juga adalah aurat seumpama rambut dan tangan. Manakala yang menganggapnya sebagai sunat, memakainya sebagai suatu alternatif menzahirkan komitmen ‘ubudiyyahnya kepada Allah. Golongan ini memakai purdah di tempat tertentu dan membukanya di tempat yang lain. Pada saya, selagi mana dianggap sunat maka tidaklah menjadi masalah. Cuma dari sudut istiqamah, ia kelihatan sedikit cacat.
Kedua :berpurdah itu suatu tahap yang hanya boleh dicapai selepas selesai tahap asas terlebih dahulu. Berpurdah itu umpama mengupgrade diri ke peringkat yang lebih baik. Tahap asas yang dimaksudkan itu adalah menutup aurat dengan sempurna, menjauhkan diri dari budaya tabarruj ( berhias diri dan menarik perhatian lelaki ajnabi ) serta mempraktikkan nilai-nilai akhlak seorang muslimah di dalam diri sendiri. Kesemua itu adalah perkara wajib yang telah disepakati dan bukan merupakan perkara khilafiah. Adapun berpurdah, tidak sampai ke tahap itu. Mudahnya, anda tidak boleh memakai baju lengan sekerat kemudian memakai purdah. Sebaliknya anda haruslah berpakaian menutup aurat dengan sempurna terlebih dahulu, barulah anda menambah dengan memakai purdah.
Ketiga :Tujuan memakai purdah bukanlah supaya diri anda tidak dikenali. Ia bukan soal ‘hadang muka’. Tujuannya adalah untuk mengelakkan anda dari menjadi perhatian lelaki ajnabi ataupun menimbulkan fitnah kepada mereka. Atas kesedaran ini anda memakai purdah demi menjaga maruah dan agama anda. Selaras dengan tindakan ini, anda tentunya akan sedaya upaya mengelakkan diri anda dari menjadi tatapan orang ramai, lebih-lebih lagi di alam maya. Adalah sesuatu yang aneh jika anda memakai purdah tetapi mengambil gambar sendiri dalam jarak yang cukup dekat kemudian diletakkan di facebook ataupun blog dengan saiz yang begitu besar!
JAHIL
Itulah namanya simptom dari kejahilan. Jahil
dari awal-awal mengorak langkah lagi, iaitu untuk apa anda memakai purdah? Ini
kerana yang membezakan antara dua wanita yang memakai purdah adalah iman dan
kefahaman mereka. Sedangkan kain sehelai itu bukankah neraca penentu taqwa
ataupun tidak.
Ada yang memakai purdah kerana mahu kelihatan
‘mahal’. Ada yang memakai purdah kerana mahu menyorok kelemahan tertentu. Ada
yang memakai purdah kerana mahu kelihatan lebih cantik atau mahu bergaya. Ada
yang obses dengan trend dan fesyen. Ada yang obses dengan watak dalam filem
atau drama ‘cinta Islamik’. Dan ada juga yang benar-benar memakai purdah kerana
mengharapkan keredhaan Allah.
Nah. Sekarang anda di posisi yang mana?
‘Niqobis’ Alam Maya
Secara zahirnya, ada tiga kepelikan ketara
yang sering saya lihat pada niqobis yang aktif di alam maya :
1- Bergambar.Bergambar dalam jarak jauh dan jika tersiar pun, dalam saiz yang kecil pada saya tidaklah menjadi masalah. Jika jarak jauh dan saiz kepala pula hanya sebesar kepala mancis, tiada siapa yang akan tertarik. Yang kenal pun, tentulah kenalan rapat sendiri sahaja. Tetapi jika diletak dengan sebesar-besarnya, sehingga begitu jelas bulu mata yang lentik dengan sekeliling mata berhias celak, itu jelas sekali bertentangan dengan objektif memakai purdah itu sendiri. Meskipun hanya mata yang kelihatan, tetapi jika sejelas itu terpampang, sudah tentu bisa jua mencairkan hati anak adam. Anda sedang meletakkan magnet yang menarik fitnah. Apakah anda fikir jelingan mata anda itu bebas daripada virus fitnah wanita yang disabdakan oleh Nabi s.a.w ..?
2- TabarrujAda beberapa ciri asas dalam tabarruj, antaranya adalah jenis pakaian yang boleh menarik perhatian lelaki ajnabi dan memakai bau-bauan yang kuat. Ramai niqobis yang seolah keliru dengan diri sendiri. Asalnya memakai purdah dan berbaju labuh untuk mengelak dari menarik perhatian atau menimbulkan fitnah, tetapi lama kelamaan seolah mengambil kesempatan pula ke atas pakaian labuh dan purdah. Daripada satu warna, menjadi banyak warna. Daripada kosong semata, jadi berhias pelbagai manik berkelipan pula. Sudahnya, makin lama makin pelik. Lebih pelik, tangkap gambar banyak-banyak dan masukkan dalam blog secara bersiri. Untuk apa?
3- Mendedahkan auratSudah banyak dijelaskan di sana sini, bahawa menutup aurat itu bukan bermakna menutup rambut. Ada beza yang besar antara keduanya. Jika anda mahu ikut kefahaman sendiri, anda boleh tutup rambut dengan scarf sahaja. Tetapi jika anda mahu ikut Islam, anda wajib menutup seluruh rambut dengan melabuhkan tudung ke bahagian dada, serta memakai baju yang labuh dan tidak menampakkan bentuk badan. Barulah anda diiktiraf sebagai menutup aurat. Yang akan mengiktiraf itu adalah Allah, bukannya manusia. Tetapi saya lihat, ramai niqobis yang tidak mengupgrade disiplin pemakaian mereka sesuai dengan tuntutan syarak, sebaliknya menambah sehelai kain untuk menutup sebahagian muka pula. Ini pelik.
Dengan tabiat yang suka memakai t-shirt dan
seluar jeans, dia menambah sehelai kain di muka lalu memanggil dirinya sebagai
wanita berpurdah. Ini gharib. Ada juga yang bertudung silang ( tidak dilabuhkan
ke dada ) tetapi memakai purdah. Ini juga gharib.
Dalam kesemua yang saya lihat dan perhatikan,
saya fikir, sesiapa yang mahu memakai purdah, perlulah berhati-hati. Kenapa?
Pertama :Anda malu dengan manusia. Di dunia ini pun anda sudah merasa malu, kerana anda dilihat sebagai jahil dan aneh. Memakai serban tetapi berseluar pendek, ibaratnya begitu.
Kedua :Di akhirat kelak, anda akan ditanya oleh Allah atas apa yang anda pakai di dunia. Tidak cukup bab tidak menutup aurat dengan sempurna, ditambah pula dengan bab mengapa memakai sehelai kain di muka sedangkan perintah menutup aurat diabaikan. Dari satu hal bertambah jadi dua hal semata-mata kerana anda gatal tangan mahu memakai purdah tanpa terlebih dahulu menjelaskan niat kerana Allah. Itu cari penyakit namanya.
Justeru, sila berhati-hati jika ingin memakai
purdah. Apabila anda meletakkan diri anda di tahap itu, maka mahu atau tidak,
anda perlu menjadi sepertimana orang yang berada di tahap itu. Baik dari segi
perkataan, perbuatan mahupun pemakaian. Sebenarnya, semua itu tidak akan
membebankan anda pun jika anda benar-benar ikhlas memakai purdah. Tetapi jika
sebaliknya, kekallah anda dalam ‘azab’ kegelisahan yang berpanjangan.
Fikir-fikirkanlah.
0 tautan:
Catat Ulasan