KONSEP SYARIAT
Suatu perkara asas yang perlu kita faham
tentang Syariat Islam adalah, Islam ini datang kepada kita sebagai satu sistem
yang matlamat utamanya adalah untuk memberikan kemaslahatan ( kebaikan ) kepada
manusia dan menjauhkan sebarang kemudaratan daripada manusia. Ini konsep teras
kepada hukum hakam Islam. Sebarang perkara yang boleh mendatangkan manfaat
ataupun kebaikan kepada manusia adalah dibenarkan manakala sebarang perkara
yang boleh memberikan mudarat kepada manusia adalah ditegah dan dilarang.
Arak umpamanya. Suatu perkara yang boleh memberi
kemudaratan maksima kepada manusia, kerana ia menghilangkan fungsi akal yang
waras. Ketika mabuk, manusia boleh berzina bahkan membunuh. Islam menegah keras
perbuatan minum arak kerana kesan-kesan negatif yang akan timbul daripadanya.
Jadi secara mudah, boleh kita fahami begini.
Islam mahukan yang terbaik untuk kita, maka segala yang baik dan boleh membawa
kepada kebaikan adalah diharuskan. Manakala segala yang buruk dan boleh membawa
kepada keburukan, adalah ditegah dan diharamkan.
Ok, itu step yang pertama.
KAEDAH UMUM
Kita fokuskan pada satu kaedah fiqh yang ada
dalam Islam, di mana kaedah ini menyebut :
Satu perkara yang mana tidak akan lengkap sesuatu perkara wajib,
melainkan dengan perkara tersebut, maka perkara tersebut turut sama menjadi
wajib.
Analogi asas : mengambil wudhuk itu sunat
tetapi solat itu wajib. Namun untuk bersolat wajib ada wudhuk, kerana wudhuk
itu adalah syarat untuk solat. Justeru, walaupun wudhuk itu asalnya tidak wajib
umpama solat, tetapi ia menjadi wajib kerana solat tidak akan sempurna
melainkan dengan wudhuk.
Kita aplikasikan.
Dalam hidup kita, kita tidak akan dapat lari
dari 5 hukum yang utama. Daripada bangun tidur, sampailah tidur semula, kita
bermain dengan 5 hukum ini iaitu wajib, sunat, harus , makruh dan haram.
Contoh, bangun pagi solat subuh, hukumnya wajib. Dengar azan tarik selimut
sambung tidur, hukumnya haram.
Kalau kita perhatikan, kesemua perkara yang
Allah tentukan sebagai wajib, pada perkara tersebut pasti dan pasti ada manfaat
serta kebaikan untuk manusia. Begitu juga pada perkara yang haram, pada perkara
tersebut pasti dan pasti ada keburukan kepada manusia. Saya sudah berikan satu
analogi di atas, iaitu arak.
Justeru, kalau mahu aplikasikan kaedah
penting ini, kita boleh katakan ; minum arak itu haram, justeru membeli arak
juga haram, berjalan pergi ke kedai untuk membeli arak juga haram dan begitulah
seterusnya. Bermakna, kesemua perkara yang boleh menyempurnakan benda haram
akan turut sama menjadi haram.
Sebab itu dalam bab zina, ada istilah
mukaddimah zina. Yang jelas dinyatakan haram dalam Al-Quran adalah perbuatan
berzina itu sendiri, namun kerana mata yang memandang itu boleh membawa kepada
zina, telinga yang mendengar itu boleh membawa kepada zina dan kaki yang
melangkah itu boleh membawa kepada zina, maka kesemuanya turut sama menjadi
haram atas nama mukaddimah ataupun permulaan zina.
HUKUM FACEBOOK
Dalam 5 hukum yang saya sebut di atas, hukum
ber- facebook adalah harus. Kaedah menyebut, asal usul kesemua perkara adalah
harus. Boleh dibuat, boleh ditinggal tanpa ada pahala mahupun dosa. Keharusan
ini kekal selagimana tidak ada dalil ataupun elemen-elemen lain yang boleh
merubah perkara harus tadi menjadi haram.
Kembali kepada fokus saya ; add atau remove
friend.
Kita semua tahu, berkawan di facebook adalah
perkara yang paling mudah bahkan pada sesetengah orang sangat menyeronokkan.
Boleh mendapat kawan dari seluruh dunia dan belajar dari mereka tentang banyak
perkara. Berkawan ini, hukumnya harus bahkan boleh menjadi sunat sekiranya niat
berkawan itu adalah kerana Allah.
Namun dalam keasyikan berkawan itu, ada batas
tertentu yang kita perlu jaga, bagi mengelakkan keharusan pada hukum tadi
tercemar dengan elemen lain yang boleh menjadikannya haram.
GAMBAR
Satu contoh paling mudah kita faham adalah
gambar. Apabila saya menyebut tentang gambar, bermakna ia melibatkan hubungan
berkawan antara lelaki dan perempuan. Ia terkait dengan gambar kerana antara
lelaki dan perempuan diwajibkan menjaga pandangan masing-masing dan tidak boleh
memandang melainkan ada keperluan.
Hukum meletakkan gambar bagi seorang wanita
di facebook asalnya adalah harus semata-mata. Langsung tidak ditegah oleh
agama. Tetapi dengan syarat ; gambar tersebut hanya anda, keluarga anda dan
kaum sejantina anda sahaja yang boleh melihat. Apatah lagi jika gambar tersebut
tidak menutup aurat ataupun mempunyai unsur-unsur tabarruj.
Bagaimana jika syarat ini dilanggar? Jawabnya
anda terjatuh ke dalam dosa, kerana membiarkan diri anda ditatap oleh kaum
lelaki yang bukan mahram. Menutup aurat anda dan menyembunyikan perhiasan anda
adalah wajib. Menutup pintu-pintu fitnah juga merupakan perkara yang wajib.
Lihat balik kaedah di atas, sesuatu yang tidak sempurna perkara wajib melainkan
dengannya maka ia turut menjadi wajib.
Menutup aurat, menyembunyikan perhiasan dan
menutup pintu-pintu fitnah itu wajib, maka mengelak dari meletakkan gambar yang
boleh dilihat oleh lelaki ajnabi yang mana boleh menyumbang kepada sempurnanya
perkara wajib tadi, turut sama menjadi wajib.
FRIEND
Ramai orang tidak menapis friend untuk masuk
ke dalam list mereka. Asal ada permintaan, akan diterima. Ini kadangkala
menjadikan begitu ramai orang yang tidak dikenali berada dalam koleksi kawan
mereka. Dalam ramai-ramai orang tersebut, ada bermacam-macam ragam.
Kalau sebagai lelaki, ramainya kawan wanita
itu boleh membawa kepada fitnah. Lebih-lebih lagi jika tidak kuat keimanan
dalam diri. Biasa berlaku, wanita suka ambil gambar dan meletakkan gambar
mereka dalam facebook. Kerapkali juga, gambar-gambar itu terpamer di muka
hadapan. Maka si lelaki yang sedang bersiar-siar di facebook, akan membuka atau
melihat gambar-gambar tersebut.
Ada yang bertudung rapi, tetapi gambar jarak
dekat. Bibir berkilat dengan lipstik. Posing pula berbagai gaya. Mereka ini
kadangkala tidak pun dikenali, dan kadangkala si lelaki bertanya pula kepada
diri sendiri ; bila masa aku add minah ni ?
Memang ramai wanita jenis itu di facebook.
Berbagai teguran diberi, namun minat bergambar dan menayangkan gambar tetap
tidak dihentikan. Apatah lagi jika komen-komen di bawah gambar tersebut
cenderung memuji, mengusik dan menyakat. Semakin seronok lah mereka.
Kadangkala lelaki hanya mengambil mudah, dan
mengomen ; poyo betul minah ni. macam cun sangat.
Hati-hati.
Kata-kata anda belum menjamin anda selamat
jika berdepan dengan situasi tersebut. Syaitan belum datang mencucuk. Mula-mula
anda fikir anda kuat, dan ‘minah poyo’ tersebut tidak menggugat. Namun
pandangan kedua mungkin mengubah segalanya. Tadi nampak tak cantik, sekarang
macam ada daya penarik. Mula lah memerhati wajah si wanita, bibirnya, bentuk
tubuhnya. Kesudahannya, nafsu yang akan berbicara.
Tiada istilah dari mata turun ke hati. Yang
ada, dari mata turun ke nafsu!
Sebab itu, Islam wajibkan lelaki menahan
pandangan. Inilah bahayanya. Maka, aplikasikan kaedah di atas. Jangan berlagak
kuat dan hebat dengan memperjudikan keimanan. Jika terbukti gambar tersebut
boleh memberikan mudarat pada iman, maka menjauhi gambar tersebut hukumnya
adalah wajib dan menatapnya adalah haram.
Jika tindakan remove friend dengan wanita
seperti itu boleh menyelamatkan iman dan membersihkan pandangan, maka remove
friend itu hukumnya adalah wajib.
BEBERAPA SITUASI LAIN
- Remove friend boleh menjadi wajib sekiranya anda yakin lelaki atau wanita tersebut boleh memberikan mudarat tertentu kepada anda, lebih-lebih lagi jika mereka itu menzahirkan sebarang niat yang jahat. Contohnya ; stalker.
- Remove friend boleh menjadi wajib, sekiranya anda meminati seseorang itu, dan anda tidak boleh menahan diri dari selalu melihat wall atau gambarnya. Lebih-lebih lagi jika menjadi igauan, sejenis obses ataupun melibatkan kecenderungan nafsu. Jika hilang dari pandangan mata, anda akan merasa lebih selesa.
- Remove friend juga boleh menjadi wajib jika dengan adanya orang tersebut di facebook anda, anda tidak boleh menahan hati anda dari mengumpat ataupun mengejeknya setiap kali membaca status yang ditulis. Mungkin kerana benci, bergaduh, berdendam ataupun iri hati. Jika dengan ketiadaan dia lebih menyelamatkan anda dari dosa, maka remove dia dari friend menjadi wajib. Saya pernah berjumpa situasi ini, dan saya nasihatkan supaya dia remove friend sahaja untuk mengelak dari dosa.
- Add friend boleh menjadi haram, sekiranya bertujuan untuk mendapat akses kepada gambar-gambar peribadi seseorang, ataupun mengintip cerita dan perbualannya, ataupun dengan tujuan mencari keaiban orang tersebut. Perbuatan itu haram dan wasilah kepada perbuatan yang haram, hukumnya juga haram.
- Kiaskan kepada situasi-situasi yang lain.
KESIMPULAN
Apa yang mahu difokuskan dalam entri ini
hanyalah perihal menambah kawan tanpa tapisan dan perlunya anda membuang
senarai kawan yang mendatangkan mudarat kepada diri dan iman anda. Termasuk
padanya, wanita suka tayang gambar, lelaki yang suka tayang video tak senonoh
ataupun orang berniaga yang setiap kali melihat post darinya akan membuatkan
anda naik gila.
Ingat, wasilah kepada perkara yang wajib ,
hukumnya adalah wajib. Dan wasilah kepada perkara yang haram, maka hukumnya
adalah haram. Selamat melakukan proses pembersihan.
Sekian.
0 tautan:
Catat Ulasan