"Ya Allah, jadikan hamba-Mu ini mencintai orang yang beriman dan jadikanlah orang yang beriman mencintaiku." (Riwayat Muslim no. 2491)
Membina ikatan persis membina sebuah mahligai
terindah, tapaknya perlu kukuh atas landasan kecintaan, dilengkapi batu bata
kepercayaan dan diperteguh tiang kasih sayang. Tampak cantik dihias rona
bebunga di taman, saat mentari pagi menyimbah cerlang sinarnya. Si Tiung
singgah mengalun, berkicauan lagu cinta, saksi romantisnya jiwa. Namun,
membinanya bukanlah semudah menyaksikannya, nampak kirana di mata tetapi
memerlukan kudrat dan keringat dalam memacunya.
"Lelaki yang baik diciptakan untuk
perempuan yang baik, perempuan yang baik diciptakan untuk lelaki yang
baik."
Dalam memateri sebuah ikatan, elemen setia
dan sedia menjadi perlambangan sejauh mana kekuatan sebuah ikatan. Berseminya
ikatan tanpa kesetiaan, ibarat menunggu rumah ditelan rebah. Bertautnya ikatan
tanpa kesediaan, ibarat menanti mahligai musnah berkecai.
Saat memilih untuk membina ikatan, eloklah
diteliti apakah kita telah melengkapi keduanya. Bersetia menjalin cinta dan
menongkah badai kehidupan bersama. Tidak pernah goyah diduga godaan, tidak
pernah rebah diuji cabaran apatah lagi gundah disuntik rintangan. Hidup bersama
rencahnya berjuta. Tika itulah kesetiaan benar-benar memainkan peranan.
Apabila lengkap elemen kesetiaan, lihatlah
pula kepada elemen kesediaan. Usah sekadar terpesona dengan lafaz dan janji di
bibir manis, namun intailah kesediaan menerima yang tak pernah gerimis. Ilmu
agama disisip kemas di dada, agar hasutan syaitan dan iblis bisa ditepis. Sedia
membimbing dan dibimbing. Nafsu amarah bukan wasilah melampiaskan kemarahan
bukan pada tempatnya. Toleransi sebagai benteng utuhnya rukun sebuah ikatan.
''Sebaik-baik perhiasan di dunia ini ialah
wanita solehah''
Ketahuilah wanita solehah, bahawa dirimu amat
bernilai. Selautan emas waima segunung permata bukan tandinganmu kerana dirimu
jauh lebih tinggi nilainya di kaca mata Islam. Usah mudah memberi cinta, kelak
binasa jiwa. Sebaliknya, ujilah si dia agar simpulan kasih tidak mudah
terungkai, ikatan sayang tidak mudah bercerai.
Jika ingin memilih membina ikatan, maka
bersiagalah kerana era penuh air mata dan duka akan menantimu. Kuatkanlah
keteguhan nalurimu agar segala yang ditempuhi mendapat inayah-Nya. Ingatlah
bahawa mencari bahagia itu tidak ubah seperti menanam si mawar berduri. Sebaik
ditanam tidak terus berputik bunga kirana, tetapi tumbuh dahulu duri yang
berbisa.
Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud:
"Manusia yang utama adalah orang mukmin yang alim. Jika diperlukan dia diberikan manfaat, jika tidak diperlukan, dia pun kaya dengan dirinya sendiri."
Bagi arjuna, keperkasaan bukanlah bukti
kelelakian sebenarmu. Layar bahtera akan dapat terus menyusur pantai impian,
walau badai merempuh apabila mahligai ikatan dinakhodakan oleh lelaki yang
beriman. Bisa melindungi dan membajai kasih sayang yang tidak berbelah bagi.
Menjadi pemimpin terulung kebanggaan
pasangan, menyalur bimbingan dan pendidikan kepada ahli keluarga dan tidak
merelakan diri menjadi dayus sehingga di akhirat kelak mendapat celaka.
Bijaksana dalam merencana keputusan agar tidak menyinggung hati dan perasaan.
Rasulullah menjadi tauladan dalam menjadi suami idaman. Suami ibarat mentari,
memberi cahaya dan kehangatan. Isteri bagai bulan, cantik dan indah dipandang.
''Selembar benang berkait, akhirnya berpakai
jua, setapak kaki berdikit, akhirnya berdiri juga''
Kepada sesiapa yang merasa diri masih
bergelut dalam kekurangan dan belum memenuhi elemen-elemen ini, jadi bermulalah
sekarang. Andai diri tidak setia, belajarlah memahami hakikat kesetiaan,
signifikannya dalam ikatan.
Andai diri tidak sedia, namun mengharap bunga
di taman larangan, penuhilah pengetahuan agama di dadamu. Kalungkanlah di
jiwamu rasa tanggungjawab walaupun rasa jahil membelenggumu. Muhasabahlah diri
agar terbinanya hubungan berkekalan hingga penghujungnya.
Sumber: iluvIslam
0 tautan:
Catat Ulasan