"Tuhan, izinkan aku jatuh cinta lagi
pada orang yang tepat, di waktu yang tepat. Kerana hatiku cuma satu,hanya
kepada dia yang halal buatku."
Cinta itu mahal, kerana hati cuma satu.
Hanya layak untuk mereka yang halal. Mereka
yang tepat. Mereka yang Allah kirimkan untuk kita. Mereka yang ikhlas, mereka
yang berusaha, mereka yang menjaga Allah, mereka yang patuh pada suruhan Allah,
mereka yang belajar menjadi hamba Allah yang beriman dan bertaqwa.
Kerana yang wanita perlu adalah pemimpin.
Yang akan memimpin hidupnya. Yang akan memimpin keluarganya, generasinya. Bukan
sahaja didunia bahkan di akhirat kelak, tempat yang kekal abadi untuk
selamanya. Mereka perlu pemimpin yang boleh memimpin mereka ke jalan Allah,
memimpin mereka menjadi wanita dan isteri yang solehah, serta boleh memimpin
mereka ke Syurga Allah. Itu yang wanita inginkan, berada bersama orang
tersayang di Syurga Illahi.
Itu yang lebis manis, lebih indah dari janji
dan kata-kata 'manis' seseorang lelaki. Ahh itu terlalu basi, sudah lali,
jangan diulang kata manismu duhai lelaki tanpa membuktikan dikau benar-benar
layak untuk seorang wanita.
Bukan sombong, bukan mendongak, tetapi inilah
wanita inginkan. Mereka mahu bahagia, tidak hanya di dunia kerana itu bukan
yang abadi tetapi di akhirat. Mereka ingin selamat, tidak hanya di dunia,
tetapi di akhirat kelak, di hadapan Allah kelak, saat dimana hanya amal yang
menjadi titik penentu.
"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya
ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu
cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa
kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat
tanda-tanda bagi kaum yang berfikir"
(Surah Ar-Rum ayat 21)
Wanita itu lemah, lemah jiwanya, lemah sifatnya.
Kerana itu, mereka perlu dia yang benar-benar layak. Supaya mereka aman. Supaya
berasa terlindung, dengan godaan syaitan dan bisikan hawa nafsu yang terus
menerus memburu manusia supaya jatuh dalam lembah hina.
Demikianlah juga wanita itu seperti digambarkan
oleh Rasulullah SAW ibarat tulang rusuk . Lembutnya perlukan pengawasan dan
sifat berhati-hati dalam meluruskannya. Jika terlebih keras, dia akan patah.
Jika dibiarkan, maka dia tetap akan bengkok.
"Dari Abu Hurairah R.A berkata:
Rasulullah SAW bersabda: "Berpesan baiklah terhadap para wanita, kerana
wanita itu diciptakan dari tulang rusuk, dan tulang rusuk yang paling bengkok
ialah yang paling atas, Jika engkau paksa meluruskannya dengan kekerasan akan
patah dan jika engkau membiarkannya pasti akan tetap bengkok, oleh kerananya
berpesan baiklah terhadap para wanita"
(Hadis Sahih Riwayat Bukhari dan Muslim)
Buat dia yang bakal menjadi pendamping
wanita, jadilah mereka yang wanita inginkan. Wanita bukan memilih tetapi mereka
ingin yang terbaik, bukan untuk diri mereka sahaja, bahkan untuk pasangan
mereka juga. Mereka ingin Allah redha dengan pilihan mereka, mereka ingin Allah
restu dengan hubungan ini.
Andai dia yang menjadi pasangan mereka
mempunyai kriteria yang Allah redha, apakah kamu fikir wanita juga tidak akan
berusaha menjadi wanita yang solehah dan sesuai untuk pasangannya? Pasti!
Kerana mereka tahu Allah sayang dengan mereka, mereka pasti berusaha menjadi
isteri yang selayaknya. Insya-Allah.
Duhai dia yang diciptakan untuk kaum Hawa,
berubahlah...kerana cinta kami mahal, hanya untuk mereka yang halal dan yang
selayaknya. Jika benar hatimu untuk kami, usah bermain kata. Bersifatlah
sematangnya... temuilah wali kami sebagai buktinya!
credit to :
iluvIslam