QA. Dikuasakan oleh Blogger.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Muslimah yang solehah itu umpama ANGIN yang lalu, mereka hadir tanpa disedari, tetapi kehadiran mereka itu mendamaikan hati

 
6 Ogos 2011

5 Tips Ekspresikan Cinta Pada-Nya

  

“I Love You, Allah,”

Allah SWT sangat baik pada kita. Terlalu banyak ditunjukkan bukti cinta-Nya. Pelbagai hadiah dihulurkan istimewa buat kita berupa makanan, minuman, oksigen, pakaian, tempat tinggal dan banyak lagi. Bahkan, hadiah paling mahal di dunia berupa iman dan Islam turut sudi diberikan-Nya. Dialah sebaik-baik Kekasih yang tidak akan mengecewakan kekasihnya.

Bagaimana pula cara kita mengekspresikan cinta kepada Allah SWT? Agar terbukti kita juga membalas cinta-Nya. Bahkan, kita ingin nyatakan bahawa kita bergantung hidup dan mati hanya pada-Nya.` Biarpun kebesaran-Nya tidak terjejas tanpa cinta kita namun kemuliaan kita terjejas teruk tanpa cinta-Nya. Cintailah Allah SWT agar Dia bertambah cinta kepada kita.



Mari beritahu Allah SWT, “I Love You, Allah,” dengan tips berikut:

01.   Mengenali Allah SWT dengan Lebih Dekat Agar Hati Bertaut Pada-Nya

Bagaimana mengenali Allah SWT? Allah SWT telah mengenalkan diri-Nya kepada kita dengan al-Asma al-Husna, sifat-sifat-Nya, dan tindakan-tindakan-Nya. Dia mempunyai kesempurnaan mutlak. Tiada cacat. Tiada kekurangan. Tidak sakit. Tidak mati.

Zat-Nya tidak sama dengan sesuatu apapun. Tak terjangkau akal kita. Jika syaitan cuba menggambarkan zat-Nya dalam bentuk patung; berhujahlah dengan yakin; Itu patung! Bukan Allah!” Jika syaitan cuba menggambarkan zat-Nya dalam bentuk manusia; katakanlah; “Itu manusia! Bukan Allah!” Allah SWT berfirman;

“Tiada sesuatupun yang seumpama dengan-Nya. Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” 

(As-Syuura: 11)

Kenalilah Allah SWT melalui petunjuk Rasul-Nya. Nabi Muhammad SAW lebih mengenali Allah SWT berbanding kita semua. Sabda Rasulullah SAW:

“Aku adalah orang yang paling mengenal Allah berbanding kalian. Maka, aku adalah orang yang paling takut kepada Allah berbanding kalian.”

(HR  Bukhari Muslim)

Allah SWT sangat akrab dan dekat dengan kita melebihi dekatnya urat leher kita dengan kita. Dia berpesan kepada Rasul-Nya di dalam al-Quran;

“Jika hamba-Ku bertanya kepadamu tentang-Ku, katakanlah: Aku dekat.” 

(Al-Baqarah: 186)

Meskipun Rasulullah SAW telah pergi meninggalkan kita namun baginda mewariskan para ulama’ untuk menerangkan petunjuk al-Quran dan al-sunnah. Allah SWT berfirman dalam Surah Faathir: ayat 28,

“Orang yang paling takut kepada Allah dari kalangan hamba-Nya ialah ulama.”

Kenali dan cintai ulama insyallah kita akan lebih mengenali dan mencintai Allah SWT. Lazimi majlis-majlis ilmu dan dekati buku-buku karangan para ulama insyallah makin bertautlah hati kepada cinta Allah SWT.



02.     Bersangka Baik Terhadap Allah SWT

Sebagai hamba, kita hendaklah bersangka baik terhadap Allah sebagai ekspresi cinta kepada-Nya. Sabda Rasulullah SAW dalam satu hadis qudsi:

“Aku (Allah) berada dalam sangkaan hamba-Ku. Maka bersangkalah dengan apa yang dia kehendaki.” 

(Riwayat Ahmad).

Dalam riwayat lain menyebut:

“Aku selalu mengikut sangkaan hambaKu.Aku sentiasa bersama-samanya.Ketika ia mengingatiKu dalam dirinya,Aku pun mengingatinya dalam diriKu.Jika dia mengingatiKu dihadapan orang ramai,Aku pun akan mengingatinya dihadapan orang yang lebih ramai.Jika dia mendekatiKu sepanjang sejengkal,Aku akan mendekatinya sehasta.Jika dia mendekatiKu sehasta,Aku akan mendekatinya sedepa.Jika dia mendatangiKu dengan berjalan kaki,Aku akan mendatanginya degan berlari.”

(Hadis Qudsi riwayat Al-Bukhari)

Kita juga perlu positif dengan Allah SWT tatkala berdoa kepada-Nya. Dalam Surah Al-Baqarah ayat 186, Allah SWT mendedahkan tentang diri-Nya yang sentiasa bersedia mendengar apa jua luahan hati , impian, cita-cita dan harapan kita. Malah Dia bersedia mengabulkannya asal saja kita mengikut kehendak-Nya. Firman Allah SWT:

“Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Hendaklah mereka itu memenuhi perintah-Ku dan beriman kepada-Ku agar mereka memperoleh kebenaran.”



03    Mencintai Apa yang dicintai oleh Allah SWT

Cara kita mencintai Allah SWT itu mestilah selari dengan apa yang Allah SWT kehendaki. Sebabnya, orang Yahudi dan Kristian juga mengaku mereka mencintai Allah SWT. Hinggakan mereka banyak melakukan kerja-kerja amal atas nama Allah SWT. Namun, apabila mereka mengingkari kekasih Allah SWT iaitu Nabi Muhammad SAW, maka cinta mereka kepada Allah SWT tertolak.

Firman Allah SWT, 

“ Katakanlah: Jika kamu mencintai Allah maka ikutlah aku (Muhammad) kamu akan dicintai Alllah. Dan Dia mengampunkan dosa-dosa kamu. Allah maha pengampun lagi maha pengasih.” 

(Surah Ali Imran: 31)

Dalam buku “Mahabbatullah” (mencintai Allah), Imam Ibnul Qayyim menyusun tahap-tahap menuju cinta Allah. Cinta berkaitan dengan amal. Amal pula bergantung pada keikhlasan kalbu, disanalah cinta Allah bertamu. Cinta Allah merupakan refleksi dari disiplin keimanan dan kecintaan yang terpuji, bukan kecintaan yang tercela yang menjerumuskan kepada cinta selain Allah. Maka, beramallah dengan amalan-amalan yang Allah sukai dengan mengikut petunjuk Rasul SAW.


04.      Membenci Sesuatu yang Dibenci Oleh-Nya.

Allah SWT bencikan kekafiran, maksiat, dan kelalaian. Mujarabkah ubat cinta Allah SWT  yang kita teguk dengan menelan sekali racun kemurkaan-Nya?

Allah SWT berfirman, ertinya:

“Telah dekat kepada manusia hari menghisab segala amalan mereka, sedang mereka berada dalam kelalaian lagi berpaling (daripadanya).” 

(Surah Al Anbiyaa’: 1)

Dalam menilai mana yang baik dan buruk, berpeganglah pada prinsip,

“Yang baik itu apa yang Allah kata baik dan yang buruk itu apa yang Allah kata buruk.”

Antara perkara-perkara yang mengundang kebencian Allah SWT dan menjauhkan kita dari cinta Allah SWT ialah:

  •  Menduakan cinta Allah SWT dengan tandingan-tandingan lain.
  • Kufur, fasiq, dan nifaq.
  • Melakukan perbuatan-perbuatan keji, seperti zina, sodomi, minum-minuman keras, dan lain sebagainya. 
  • Menyia-nyiakan solat, dan mempermudahkan waktu-waktunya, serta (meninggalkan) mendirikannya secara berjamaah di masjid.
  • Sedikit mengingat Allah SWT.
  • Sedikit membaca Al-Qur’an.
  • Meninggalkan berdoa, dan bertawakal kepada Allah SWT.
  • Mencintai dunia, dan menyibukan diri untuk mengumpulkannya dengan berbagai cara.
  • Tasyabbuh (menyerupai) dengan musuh-musuh Allah SWT, baik dalam hal pakaian yang tdak menutup aurat, cara hidup, dan penampilan (punk, pondan dll).
  • Berteman dengan orang-orang jahat, dan orang yang tidak mahu mengingatkannya kepada Allah SWT. 
  • Menyia-nyiakan waktu dalam hal yang bukan termasuk ketaatan kepada Allah SWT.
  • Terlalu banyak makan, minum, tidur, dan bergaul, kerana itu semua menyebabkan rosaknya hati dan malasnya anggota badan dari melaksanakan berbagai macam ketaatan.
  • Terlalu banyak mendengarkan lagu-lagu, dan menonton siaran TV yang beracun.
  • Tidak hati-hati dalam segala hal yang berkaitan dengan halal dan haram. 
  • Melanggar perkara-perkara haram yang terang lagi bersuluh, seperti penyalahgunaan dadah, merokok, wanita mendedahkan aurat dan keluar dengan bersolek serta memakai wangi-wangian, dan lain sebagainya.


05.      Memperkecil Cinta kepada Dunia.

Memperkecilkan cinta kepada dunia tidak bermaksud kita mesti menjadi orang miskin. Ada sebahagian kecil kelompok akhir zaman yang menganggap kecilkan cinta kepada dunia itu beerti menjauh daripada kehidupan duniawi, kemasyarakatan, pembangunan dan teknologi. Mereka sentiasa mencari jalan keluar daripada tanggung jawab sosial dengan alasan tidak mahu terlibat dalam penyakit sosial.

Rasulullah SAW menunjukkan qudwah yang multidimensi dalam hidupnya. Ia termasuk baginda menjadi qudwah sebagai orang kaya dalam situasi tertentu dan baginda juga menjadi qudwah sebagai orang miskin dalam situasi yang lain. Jika baginda diuji miskin, baginda bersabar dan tekun berusaha. Jika baginda mendapat kekayaan dunia, diekspresikan syukur dengan memanfaatkan harta ke jalan Allah SWT.

Rasulullah SAW dan para sahabat sangat-sangatlah dinamik. Generasi terbaik itu menjaga hubungan dengan Allah SWT dalam berkerja, mencari nafkah, berkeluarga, membuat pembangunan fizikal, membina ketamadunan teknologi dan berperang. Baginda menunjukkan qudwah tentang hubungan dengan Allah, penyucian jiwa daripada akhlak tercela dan menghiasinya dengan akhlak mahmudah dalam setiap aktiviti kehidupan. Hidup Rasulullah dan para sahabat seimbang (wasatiah) hinggakan dunia di jari, Allah tetap berkuasa di hati.

Mari Berdoa
Rasulullah SAW bersabda: 

“Allah, Yang Maha Agung dan Mulia menjumpaiku (iaitu dalam tidurku), kemudian berfirman kepadaku, “Wahai Muhammad, katakanlah : “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu untuk mencintai-Mu, mencintai siapa saja yang mencintai-Mu, serta mencintai perbuatan yang menghantarkan aku untuk mencintai-Mu.”

Sumber : Ustazah fatimah Syarhah

3 tautan:

lavenderlover berkata...

semoga kita lebh dekat kepadaNya di bulan yg mulia ni..insyaAllah..=)

Ukhti Ibtisam berkata...

salam, boleh saya kongsikan entry ni kat blog sy? syukran...

Qabsah Anisah berkata...

lavenderlover : mudah-mudahan..ameen

Ukhti Ibtisam : Amat dialu-alukan

Updates Melalui E-Mail