QA. Dikuasakan oleh Blogger.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Muslimah yang solehah itu umpama ANGIN yang lalu, mereka hadir tanpa disedari, tetapi kehadiran mereka itu mendamaikan hati

 
1 September 2010

Mencari keampunan di malam al-Qadar

Lebih kurang seminggu sahaja lagi genaplah sebulan umat Islam di negara ini berpuasa. Bagi sesetengah orang merasakan masa berlalu begitu pantas. Ada juga yang menghitung masa dan hari-hari yang berlalu amat perlahan. Mungkin juga ada golongan merasakan hari-hari yang berlalu tiada makna baginya.






Bulan puasa adalah bulan amal ibadat. Bertugas di bulan puasa untuk memberi nafkah kepada keluarga adalah suatu ibadat. Amal kebajikan dan amal ibadat tidak terbatas kepada sedekah harta benda. Sesuatu yang baik seperti nasihat-menasihati adalah lebih baik daripada sedekah yang diungkit-ungkit bagi tujuan bermegah-megah dan tidak ikhlas.

Renungi sejenak amalan yang telah kita lakukan sepanjang bulan puasa ini. Lazimnya kita melakukan solat tarawih di masjid atau surau. Pada peringkat awal puasa memang ramai yang pergi terawih termasuklah golongan wanita. Terdapat di kalangan jemaah yang memilih tarawih lapan rakaat sahaja. Yang paling penting kita perlu istiqamah dalam melakukan solat tarawih hinggalah ke akhir Ramadan.

Terdapat suatu dorongan yang kuat dalam diri untuk beribadat di malam bulan Ramadan iaitu mendapatkan lailatul qadar. Apakah boleh kita menemui lailatul qadar? Ulama berselisih pendapat dalam menentukan malam tersebut.

Dalam al-Quran terdapat beberapa ayat yang menyebut lailatul qadar dan secara khusus dalam surah al-Qadar. Ia dikaitkan dengan peristiwa al-Quran yang diturunkan dalam bulan Ramadan. Tafsir Fakhrul Razi menghuraikan antara lain surah ini menjelaskan al-Quran diturunkan pada suatu malam di bulan Ramadan.

Bagaimanapun tidak dikhususkan malam tersebut. Ini memberi indikasi kebesaran dan kemuliaan malam al-Qadar.

Difahamkan dari penjelasan Ibnu Abbas, al-Quran diturunkan dari luh mahfuz ke Baitul Izzah iaitu di langit dunia pada malam tersebut dan disampaikan kepada Rasulullah s.a.w. secara munajjam atau berperingkat-peringkat. Tidak diragui al-Quran diturunkan pada bulan Ramadan berdasarkan ayat 185: surah al-Baqarah yang bermaksud:
Bulan Ramadan, yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia.

Ulama berpendapat kesemua kitab samawi seperti Taurat, Injil, Zabur dan mashaf Ibrahim a.s. diturunkan dalam bulan Ramadan. Terdapat beberapa cara al-Quran disampaikan dan diterima oleh Rasulullah s.a.w. antaranya melalui ilham yang disampaikan terus kepada baginda dan melalui Jibril a.s.

Adalah tidak benar dakwaan yang menyatakan al-Quran ciptaan Muhammad s.a.w. Ayat-ayat yang diturunkan adalah sangat tinggi mutu kesusasteraannya sehingga tiada seorang pun pujangga Arab ketika itu boleh mencabarnya. Ini dijelaskan dalam ayat yang bermaksud; jika kamu meragui apa yang kami turunkan, datangkanlah satu surah yang menyamainya.

Menurut al-Zuhri, malam yang diturunkan al-Quran merupakan malam al-Qadar kerana pada sifat kemuliaan dan kebesarannya. Ini dijelaskan dalam ayat al-Qadar iaitu lailatul qadar lebih baik dari seribu bulan. Ini menjelaskan betapa mulia dan besar kitab al-Quran.

Bagaimanapun Allah merahsiakan detik tempoh sebenar berlaku lailatulqadar. Ia sama sekali tidak berlaku dalam mana-mana bulan kecuali bulan Ramadan. Rahsianya supaya hamba-Nya beribadat dan memuliakan keseluruhan malam bulan Ramadan dengan tidak memilih malam tertentu.

Allah merahsiakan masa mengabulkan doa hamba-hamba-Nya, begitu juga merahsiakan penerimaan taubat yang dipohon. Justeru akan memberangsangkan hamba-Nya menghidupkan seluruh malam bulan Ramadan dan terus memuliakannya oleh mereka yang mencarinya.

Ulama berselisih pendapat dalam menentukan malam lailatul qadar. Ini kerana mashaf Nabi Ibrahim a.s. diturunkan pada malam pertama Ramadan. Menurut Hasan Basri, lailatul qadar berlaku pada malam ketujuh belas. Ini disesuaikan dengan peristiwa peperangan Badar yang berlaku pada tempoh tersebut. Ada pula yang berpendapat pada malam kesembilan belas dan pendapat lain pada malam kedua puluh satu.

Ibnu Abbas berpendapat lailatul qadar berlaku pada malam kedua puluh tiga. Ibnu Mas'ud menyatakan pada malam kedua puluh empat. Abu Zar al-Ghafari menyatakan pada malam kedua puluh lima. Sekumpulan ulama dari sahabat menyatakan lailatul qadar berlaku pada malam kedua puluh tujuh dan ada ulama berpendapat pada malam kedua puluh sembilan.

Malam kedua puluh tujuh dipilih kerana diambil sempena bilangan tujuh iaitu tujuh lapisan langit dan bumi, dan seminggu mempunyai tujuh hari dan begitu juga tawaf sebanyak tujuh kali.

Dalam sebuah hadis pula menggesa agar umat Islam yang hendak menemui lailatul qadar supaya mencarinya pada tujuh malam terakhir Ramadan. Baginda Rasulullah s.a.w. terus beriktikaf sejak sepuluh terakhir Ramadan.

Sebenarnya ketidakpastian dalam menentukan malam tertentu berlaku lailatul qadar memberikan inisiatif dan dorongan untuk kita beribadat sepanjang bulan Ramadan.

Semoga dengan demikian kita tidak terlepas daripada memperoleh malam yang penuh berkat ini.


Sumber : ikim.fm

0 tautan:

Updates Melalui E-Mail