Di sini jelas mengapa kita dilahirkan berbeza rupa parasnya. Dalam teori perkembangan, baka diindekskan sebagai faktor utama yang mempengaruhi pertumbuhan seseorang.
Ramai antara kita yang tersilap samada lelaki atau perempuan kerana menyangkakan bahawa kecantikan adalah cerminan peribadi yang mutlak. Pendapat ini sebenarnya jauh tersasar dari konsepsi sebenar. Malah, boleh dikatakan bahawa persepsi ini adalah terlalu dangkal dan kolot.
Arakian, ada sesetengah individu berasa rendah diri dan sukar bersosialisasi dalam induk masyarakat kerana merasakan wajah mereka kurang menyerlah berbanding dengan orang lain. Atau dengan kata lainnya, wajah mereka kurang cantik dan menawan seperti yang mereka harap-harapkan. Bagi kebanyakan kaum hawa, kecenderungan mereka ialah mengimpikan bentuk tubuh yang lansing, pinggang yang semampai, berkulit gebu dan wajah yang ayu ditatap. Bagi kaum adam pula, mereka sudah tentu pula mengidamkan isteri yang berperwatakan demikian kendatipun mereka sendiri sederhana penampilannya. Naluri ini dianggap normal kerana setiap manusia memang sukakan kecantikan.
Tidak dinafikan, ada yang mengalami krisis kejiwaan malah kadangkala memasuki kegalur ‘ Stress’ yang serius dan kritikal kerana penampilan wajah mereka yang kurang menyengat. Dalam istilah perubatan psikologi, fenomena ini disebut sebagai dismorfofobia. Dalam kes ini, penyakit ini adalah satu gangguan pemikiran yang mana orang terbabit sunguh-sungguh percaya bahawa wujud kecacatan pada wajah atau bentuk badan mereka padahal orang lain yang melihat tiada apa-apa. Jadi, tidak hairanlah ramai yang sanggup berhabis duit untuk membeli alat kosmetik yang berjenama dan menjalani pembedahan plastik atau rekonstruktif untuk membaiki imej wajah mereka.
Mengikut Perunding Plastik dan Pakar Bedah Rekonstruktif di Hospital Pakar Ampang Puteri, Selangor, Dr. Abdul Jalil Jidon, pembedahan plastik sebenarnya dibenarkan. Tetapi, ini hanyalah untuk kes-kes tertentu sahaja.
Lazimnya, pembedahan plastik hanya dilakukan apabila seseorang itu mengalami kecacatan yang benar –benar serius seperti melecur atau luka terbakar. Tetapi, bagaimana pula bagi mereka yang langsung tiada apa-apa. Sebenarnya, ia hanyalah membazir semata-mata. Mereka juga boleh dikatakan cuba mengubah kejadian yang Esa. Apapun, setiap manusia seharusnya menerima anugerah ini dengan mentaliti yang terbuka.
Bagi kebanyakan pelajar terutamanya pelajar perempuan, ada sesetengahnya kurang dapat menumpukan perhatian pada pelajaran kerana terlalu asyik memikirkan perkara yang remeh sahaja. Sebagai contoh, soal kecantikan. Impaknya, pelajaran mereka merosot sama sekali. Mereka juga mengalami kesukaran dalam berbincang dengan teman sekelas kerana bimbang mereka senantiasa diperhati. Apa yang menyedihkan ialah, ada sesetengahnya langsung gagal dalam pelajaran dempak perkara ini.
Di sini, suka diturunkan Teori Attibution yang dipelopori oleh Bernald Weiner (1974) yang menjelaskan akan konsep kegagalan dan kejayaan. “…..Kejayaan atau kegagalan seseorang boleh disebabkan oleh empat perkara iaitu kebolehan, usaha, nasib dan kesukaran tugasan dalam pembelajaran…..” Jelasnya, dalam konsep ini, kejayaan atau kegagalan seseorang tidak boleh dikaitkan dengan faktor kecantikan.
Seringkali, wajah cantik dan cerminan peribadi dikaitkan dengan aspek personaliti. Dalam konteks sebenar, personaliti merujuk kepada pembentukan psikologi seseorang individu secara keseluruhan. Ini merangkumi perangai, kecerdasan, sentimen, sikap, minat, kepercayaan, cita-cita dan nilai. Personaliti seseorang individu dibayangkan oleh tendensinya untuk bertingkahlaku mengikut cara tertentu (Ee Ah Meng, 1996).
Alport pula mengemukakan bahawa personaliti adalah sebagai organisma dinamik sistem psikofizikal pada seseorang individu yang menentukan tingkahlaku dan fikiran yang khusus.
Apa kaitannya kecantikan dengan personaliti? Sebenarnya, masih ramai lagi yang turut tersalah kerana menganggap bahawa kecantikan juga adalah melambangkan personaliti seseorang. Suka di sini ditegaskan pula bahawa wajah cantik tidak langsung menggambarkan personaliti individu. Ironinya, kecantikan adalah anugerah Ilahi dan telah ditetapkan sejak azali. Ianya bersifat subjektif dan sukar dinilai secara tepat dan lengkap. Mengambil contoh mudah, si A menyatakan bahawa si C memang sangat cantik manakala si B pula menyatakan si C sederhana sahaja. Pandangan mereka bercanggah sama sekali. Kebarangkalian yang boleh dibuat ialah, si A memilih si C kerana merasakan yang si C berpersonaliti menarik mengikut kaca matanya. Manakala si B pula tidak beranggapan demikian. Di sini jelas terbukti bahawa personaliti merujuk kepada organisma watak, perangai, intelek, bentuk badan, cara pemikiran, perasaan, dan tingkahlaku seseorang individu. Jadi, adalah tersilap besar andainya seseorang itu mengatakan bahawa kecantikan adalah lambang peribadi individu.
Sebagai perkaitannya, di sini diturunkan satu lagi contoh. Andaikata seseorang itu kurang menyerlah kecantikannya, tetapi berperwatakan menarik, berakhlak mulia dan baik hati, sudah pasti protagonis ini senang didampingi. Timbal baliknya, jika seseorang itu cantik rupa parasnya, tetapi rendah moral dan akhlaknya, sudah tentu individu ini akan sukar untuk bersosialisasi. Apa yang penting di sini ialah, kecantikan tidak boleh dijadikan kayu pengukur dalam menilai hati budi seseorang. Janganlah kita terpedaya dengan kecantikan seseorang kerana wajah cantik tidak semesti hatinya juga cantik.
Dewasa ini, ada sesetengah wanita yang merasakan wajah mereka kurang cantik sukar untuk mendapat jodoh. Sebenarnya, mentaliti mereka ini silap sama sekali. Kita tentu pernah melihat ramai pasangan yang hidup bahagia tanpa mendominasikan fragmen kecantikan. Sebagai buktinya, di sini diturunkan sebuah hadis Rasulullah yang bermaksud seperti berikut. “…..Perempuan dikahwini kerana empat perkara; kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya, dan kerana agamanya. Maka pilihlah yang beragama, ia lebih menguntugkan kamu.”
Daripada hadis ini, jelas terbukti bahawa nabi juga menekankan soal keagamaan daripada kecantikan. Dalam konteks ini, agama akan membentuk peribadi seseorang. Lazimnya, mereka yang kuat pegangan agamanya akan berperibadi lebih elok berbanding mereka yang kurang.
Dalam menongkah arus kehidupan, kita seharusnya bersyukur kerana dilahirkan sempurna sifatnya. Juga cukup pancainderanya. Dan yang paling penting ialah sempurna akalnya. Dengan akal, kita dapat berfikir secara rasional dan membuat keputusan dengan bijak dan tepat. Dapat menilai mana yang elok dan mana yang tidak. Ini yang paling penting sekali.
Dalam situasi kehidupan yang sebenar, jika semua orang mempunyai citarasa yang sama, sudah pasti kedai kain di butik atau busana akan lingkup kerana semuanya sukakan kain songket. Begitu juga dengan soal kecantikan. Sudah tentu juga setiap lelaki sukakan wanita yang sama. Kerana citarasa wajah pun sama barangkali.
Di sini jelas mengapa kita dilahirkan berbeza rupa parasnya. Dalam teori perkembangan, baka diindekskan sebagai faktor utama yang mempengaruhi pertumbuhan seseorang. Perkembangan ini merupakan suatu perubahan yang kualitatif. Perubahan ini tidak dapat diukur tetapi jelas berlaku jika dibandingkan dengan peringkat yang lebih awal. Begitu juga perubahan rupa paras. Lazimnya, kecantikan turut dikaitkan dengan baka yang baik. Ini bermaksud, ibu bapa yang cantik berpotensi menimang cahaya mata yang cantik. Namun, jika ibu bapa berperibadi baik, belum tentu anak mereka akan turut berperibadi. Ia terletak pada cara ibubapa mengasuh dan mendidik anak masing-masing. Secara jelasnya, terbukti bahawa peribadi tidak dapat diwarisi.
Mutakhir ini, ada sesetengah manusia berasa cemburu apabila melihat kecantikan orang lain. Mereka juga seringkali menyalahkan takdir kerana dilahirkan kurang cantik wajahnya. Inilah persepsi negatif yang seharusnya disingkirkan dalam diri setiap individu. Sebenarnya, tiada langsung imej ‘hina’ bagi mereka yang kurang cantik. Kecantikan yang sebenar kecantikan ialah kecantikan dalaman, soal hati dan budi, soal pekerti dan peribadi.
Dunia kontemporari pun cenderung memilih kecantikan batiniah daripada kecantikan zahiriah. Ramai bakal mentua akan memilih menantu yang berperibadi baik berbanding yang cantik wajahnya. Bagi mereka, lebih baik mendapat menantu yang berperibadi baik kerana hanya peribadi menarik yang akan memungkinkan kebahagiaan anak mereka.
Suka ditegaskan sekali lagi bahawa, wajah cantik bukanlah cerminan peribadi yang mutlak. Cerminan peribadi yang sebenarnya ialah hati budi seseorang. Arakian, mereka yang merasakan wajah mereka kurang cantik patut melemparkan jauh perasaan ini. Ini kerana, wajah cantik tidak semestinya berperibadi cantik manakala wajah ‘hodoh’ tidak semestinya buruk peribadinya. Apa yang terbaik ialah akhlak itu sendiri seperti sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud: “…..Rasulullah S.A.W. bukan seorang yang keji mulut dan kelakuannya. Bahkan Nabi S.A.W. bersabda: Sebaik-baik kamu ialah yang terbaik akhlak: Budi pekertinya……”
0 tautan:
Catat Ulasan